Skip to main
Logo Malaysiakini

KATA MP | Nasib malang penanam sayur di kawasan parlimen PM

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Hari ini 26hb Oktober 2023, jam 11.00 pagi saya akan hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkenaan Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup Dan Pertanian (ringkasnya JKPK).

Mesyuarat yang akan diadakan di sebuah bilik mesyuarat yang anggun di bangunan Parlimen akan membincangkan masalah keterjaminan makanan di Malaysia.

Anehnya satu paradoks yang absurd dan penuh kontradiksi sedang berlaku. Pada satu keadaan di mana Malaysia terpaksa mengimport makanan untuk rakyat dan ternakan sebanyak lebih RM50 bilion setahun, tetapi pada hari Selasa lalu 24 Oktober 2023 operasi mengusir petani-petani produktif di Kanthan, Tambun, Perak telah berlaku.

Kerana itu, saya tidak dapat tidur nyenyak walaupun menginap di sebuah hotel bertaraf lima bintang di pusat bandar raya Kuala Lumpur. Saya bangun dan menulis nukilan ini pada jam 3.00 pagi.

Saya perlu berkata sesuatu mempertahankan hak dan kepentingan penanam-penanam sayur di Kanthan, Perak iaitu di kawasan Parlimen Tambun, Kawasan Parlimen Perdana Menteri.

Pada hari Selasa, 24 Oktober yang lalu, Pihak Berkuasa Kerajaan Negeri Perak telah memusnahkan tanaman petani-petani di Kanthan, Tambun itu.

Petani-petani itu menghasilkan 60 tan sayur-sayuran sehari untuk rakyat. Mereka menanam jagung, bayam, sawit, belimbing dan daun bawang di kawasan seluas 25 ekar.

Usaha produktif petani-petani tersebut sepatutnya disokong oleh kerajaan, sama ada kerajaan pusat ataupun kerajaan negeri. Sebaliknya petani-petani itu diusir secara paksa, dikasari oleh pihak yang berkuasa dan ditahan pada hari tersebut.

Petani-petani itu telah mengerjakan tanah-tanah tersebut dengan menanam sayur-sayuran selama tiga generasi. Perkara ini berlaku ketika Malaysia sendiri menghadapi masalah kos makanan.

Para petani dari Kanthan, Tambun, Perak pernah datang ke Parlimen pada bulan September yang lalu untuk bertemu Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, wakil rakyat mereka yang menjadi Ahli Parlimen Tambun.

Mereka membawa sebuah memorandum untuk Perdana Menteri supaya membantu mereka agar mereka tidak diusir dari tanah pertanian yang mereka usahakan. Mereka tidak minta hakmilik tanah. Mereka tidak minta geran tanah. Mereka hanya minta pajakan tanah untuk mereka mengerjakan tanah itu secara sah dari segi undang-undang.

Mereka bukan setinggan di atas tanah itu. Mereka adalah peneroka tanah-tanah tersebut. Malangnya, mereka tidak dapat berjumpa Perdana Menteri, wakil rakyat mereka sendiri di Parlimen yang megah itu.

Mereka diusir di jalan masuk ke Parlimen dengan tindakan kurang manis oleh Pihak Keselamatan. Rakyat miskin dan petani-petani kampung sudah jadi ancaman kepada Pemerintah. Memorandum hanya dapat diserahkan kepada wakil Perdana Menteri sahaja. Tidak pasti sama ada memorandum petani-petani itu sampai atau tidak kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Malang sekali. Kejadian pemusnahan tanaman dan pengusiran petani tidak bertanah di Kanthan, Tambun itu sepatutnya tidak berlaku di kawasan Perdana Menteri sendiri yang konsisten dalam mempertahankan hak rakyat miskin dan kaum marhaen.Perdana Menteri kini yang amat sibuk dengan urusan pentadbiran negara dan urusan antarabangsa berkait serangan zionist Israel ke atas Gaza di Palestin, mungkin tidak menyedari kezaliman juga sedang berlaku ke atas rakyat kecil di kawasan Parlimen Perdana Menteri sendiri tanpa disedarinya.

Jika rakyat Palestin menuntut kembali tanah-tanah mereka yang dirampas; hak untuk merdeka dari penjajahan zionist Israel dan hak untuk kembali ke tanahair mereka, maka petani-petani di Kanthan, Tambun mohon supaya mereka diberi kebenaran menanam sayur-sayuran, buah-buahan, dan menternak ayam dan itek yang telah mereka, ayah ibu dan datuk nenek mereka usahakan di atas tanah pertanian tersebut selama 80 tahun.

Sebagai seorang ahli Parlimen dan anggota Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) berkaitan keterjaminan makanan maka saya berharap Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertanian, YAB Datuk Seri Mohamad Sabu supaya campur tangan untuk menghentikan operasi memusnahkan tanaman jagung dan sayur-sayuran petani-petani tersebut.

Seterusnya diharapkan dua pemimpin negara Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu yang mempunyai track record memperjuangkan hak dan kepentingan petani miskin sejak zaman mereka muda lagi agar menyelesaikan isu petani-petani tidak bertanah di Kanthan, Tambun, Perak khususnya dan di seluruh negara amnya.

Sebagai seorang ahli parlimen, saya menyeru kepada Kerajaan Madani sekarang supaya memberikan tanah kepada petani-petani yang tidak bertanah di seluruh negara untuk menghasilkan tanaman makanan. Ini adalah satu reformasi di bidang pertanian.


HASSAN ABDUL KARIM ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian malaysiakini.