Skip to main
Logo Malaysiakini

Syed Saddiq ikrar suarakan isu 4 beradik 'tanpa kerakyatan' di Parlimen

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata dia akan terus membangkitkan isu orang tanpa kerakyatan di Dewan Rakyat sebagai sebahagian usaha ke arah perubahan dasar.

Dalam sidang media di Parlimen, Syed Saddiq bersama-sama NGO Lawyers for Liberty (LFL) membangkitkan kes empat beradik yang tiada status kerakyatan walaupun lahir di Malaysia dan bapa mereka warganegara.

"(Kes) ini baru dibawa ke perhatian saya. Saya sudah bahas belanjawan minggu lalu.

"Namun saya akan cari peluang - sama ada menerusi celahan perbahasan ahli parlimen lain atau ketika penggulungan - untuk bangkitkan isu ini," katanya.

Empat beradik itu - Aziq Fadyan, 24, Azreen Batrisya, 22, Azzahra Batrisya, 12, and Azalea Batrisya, sembilan - juga hadir bersama-sama Pengarah LFL Zaid Malek di sidang media itu.

Bapa mereka, Fadil Saharudin yang baru meningal dunia adalah warga Malaysia. Ibu mereka pula warga Indonesia.

Empat beradik itu juga lahir selepas ibu bapa mereka berkahwin pada 1998.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata perubahan dasar diperlukan bagi menangani isu orang tanpa kerakyatan.

Justeru, dia mengalu-alukan pengumuman Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini bahawa tempoh proses permohonan kerakyatan dipendekkan daripada 73 hari kepada 14 hari, menerusi Sistem Tapisan Keselamatan Warganegara yang baru dilancarkan Jabatan Pendaftaran Negara.

"Ini bukan berkenaan mereka berempat sahaja. Saya rasa telah tulis lebih 20 surat, terutama untuk penduduk di Muar. Ini merentasi isu kaum, agama dan umur," kata presiden Muda itu lagi.