Skip to main
Logo Malaysiakini

'Abang, kamu tidak ada seluar sekolah lain ke?'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penampilan seorang murid Darjah Tiga yang memakai seluar sekolah lusuh dan senteng serta berambut panjang menarik perhatian seorang guru di sebuah sekolah rendah di Klang, Selangor baru-baru ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Nor Faisal Ishak berkata dia melihat penampilan kurang kemas salah seorang anak muridnya itu ketika sedang beratur di perhimpunan sekolah.

"Perhimpunan tengah hari tadi, mata aku terpandang seorang anak ini. Seluarnya menarik perhatian. Rambutnya juga panjang boleh tahan. Aku panggil dia. Aku bawa ke tepi. Kami berbual.

“Abang, kamu tidak ada seluar sekolah lain ke?” tanya Faisal yang merupakan seorang guru bahasa Melayu kepada pelajar itu.

“Tak ada, cikgu. Seluar saya semua dah 'pindik',” tulisnya mengulang jawapan yang diberikan pelajar yang mesra disapa ‘abang’ itu.

Menurut Faisal, ‘abang’ merupakan anak yatim yang kematian bapa akibat kemalangan jalan raya dan kini dibesarkan oleh ibunya.

Katanya dia membawa 'abang' ke bilik guru untuk mencarikan baju sekolah terpakai yang boleh diberikan kepada pelajar itu, tetapi tiada saiz sesuai.

Justeru Faisal meminta kebenaran guru penolong kanan untuk membawa 'abang' ke pasar raya berdekatan dan membeli sepasang uniform sekolah kepada pelajar itu.

Sebelum membeli pakaian berkenaan, kata Faisal, dia membawa pelajar itu untuk menggunting rambut dan dikenakan bayaran sebanyak RM25.

"Aduh, harga barber rupanya. Nak buat macam mana. Itu je kedai yang ada. Lepas tu terus kami pergi cari baju dengan seluar sekolah baru. Yang ada hanya kedai jenama Canggih. Memang canggih jugalah harganya.

"Dia terus pakai baju baru. Nampak segak dengan rambut yang dah (dipotong) kemas. Barulah handsome macam cikgunya. Kalau tidak, Allahhuakbar,” tulis guru itu.

Faisal bukan sahaja membelikan pelajar itu uniform sekolah baru dan membawanya menggunting rambut, malah guru itu juga membelanjakan makanan tengah hari dan aiskrim untuk anak muridnya itu.

Katanya, ketika sedang menjamu selera, seorang wanita yang duduk di hadapan mereka menghulurkan sejumlah wang kepada 'abang' sebagai duit belanja.

Menerusi hantaran lain, Kata Faisal, dia membantu pelajar itu kerana dia sendiri pernah merasa hidup susah di mana bapanya, seorang anggota polis, perlu menyara dia serta 10 adik beradik yang lain.

Sebak lihat pakaian lusuh

Ketika dihubungi Malaysiakini, Faisal menjelaskan dia membantu pelajar berkenaan kerana berasa sebak melihat penampilan pelajar itu.

“Saya berasa sebak sebab saya terlepas pandang dan tak nampak pakaiannya itu lusuh walaupun pihak sekolah pernah menghulurkan bantuan kepadanya sebelum ini.

"Ibunya sudah mengetahui tentang hal ini dan mengucapkan terima kasih kepada saya,” kata Faisal yang mengakui sering membelanja murid berstatus anak yatim terutama pada hari Jumaat.