Skip to main
Logo Malaysiakini

Adun Batu Tiga harap Mat Sabu kekal presiden

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

WAWANCARA | Ketua Pemuda Amanah Selangor, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid berharap setiap ahli parti itu dapat bersatu menyokong Mohamad Sabu sebagai presiden sepenggal lagi.

Katanya, selepas ketiadaan Allahyarham Salahuddin Ayub sebagai timbalan presiden yang meninggal dunia pada Julai lalu, pasukan Mohamad dilihat 'tempang' kerana ketiadaan pelapis.

Katanya sebelum ini gandingan Mohamad dengan Salahuddin begitu baik namun keadaan terjejas akibat kematian mengejut bekas ahli parlimen Pulai berkenaan.

"Sekarang Amanah perlu ada satu barisan pelapis yang kuat di peringkat nasional untuk membantu Abang Mat (Mohamad) menjayakan agenda parti.

"Buat masa ini saya fikir itulah keutamaan parti," katanya semasa diwawancara Malaysiakini kelmarin.

Amanah akan menjalani pemilihan di peringkat nasional semasa konvensyen untuk tahun kelapan pada Nov ini.

Mohamad Sabu

Untuk rekod kaedah pemilihan untuk jawatan dalam Amanah berbeza berbanding kebanyakan parti politik lain. Jawatan utama parti tidak dipilih secara langsung oleh perwakilan.

Sebaliknya perwakilan memilih sejumlah calon untuk diangkat sebagai anggota jawatankuasa pusat sebelum mereka berbincang pula untuk menentukan siapa layak dilantik sebagai presiden, timbalan presiden serta jawatan lain.

Mohamad mengetuai Amanah sejak parti itu ditubuhkan secara rasmi pada 2015.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan ketika ini wujud rasa tidak puas hati sesetengah pihak - termasuk di peringkat akar umbi - terhadap kepemimpinan Mohamad.

Beri impak besar

Justeru ada pihak tertentu dipercayai sedang bergerak perlahan-lahan untuk berkempen mendapatkan sokongan ahli agar ada calon lain dipertimbangkan sebagai alternatif kepada Mohamad.

Dakwaan itu timbul selepas Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari disebut-sebut bakal dinamakan sebagai pengganti Salahuddin di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Dakwa kumpulan terbabit pemilihan Adly dilihat sebagai langkah strategik Mohamad bagi mengukuhkan pengaruhnya dalam jawatankuasa tertinggi parti sekali gus menjamin kedudukannya sebagai presiden.

Bagaimanapun dakwaan berkenaan disangkap ahli Jawatankuasa Amanah Nasional Faiz Fadzil yang menganggap tiada perpecahan atau wujud kem berbeza dalam parti terbabit.

Sebaliknya, kata Faiz kedudukan Mohamad adalah kukuh kerana mendapat sokongan semua pemimpin dan sudah menunjukkan prestasi cemerlang selama ini.

Menurut Danial ketika ini calon yang dirasakan paling sesuai mengisi tempat ditinggalkan Salahuddin memang Adly.

Katanya dia mengagumi karisma dan kepemimpinan naib presiden Amanah itu terutama dengan pembawaan yang sederhana serta mempunyai latar belakang agama yang baik.

"Ketika menjadi Ketua Menteri Melaka - walaupun dalam tempoh singkat - dia memberikan impak yang besar dan mampu melakukan perubahan yang baik dalam apa jua posisi yang diberikan kepadanya," tambah Adun Batu Tiga itu lagi.