Skip to main
Logo Malaysiakini

Boikot Apec? Terlalu awal untuk k'jaan putuskan - Anwar

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata masih terlalu awal untuk kerajaan Malaysia memutuskan keperluan memboikot Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di San Francisco, California, Amerika Syarikat (AS) pada November ini.

"Tunggu keadaan. Terlalu awal untuk kita putuskan," katanya ketika ditanya mengenai gesaan pemimpin PN yang mendesak kerajaan memboikot mesyuarat itu sebagai tanda protes Malaysia terhadap pendirian Amerika Syarikat (AS) sekiranya konflik di Gaza tidak dihentikan.

Semalam, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata Malaysia perlu memboikot mesyuarat Apec itu tanda sokongan kepada Palestin dan pada masa yang sama menunjukkan bantahan keras terhadap AS yang menyokong pembunuhan beramai-ramai dilakukan Israel.

Sebelum ini dilaporkan perdana menteri akan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat APEC tahun ini.

Selain mesyuarat pemimpin Apec, pemimpin Asean kecuali pemimpin tentera Myanmar, turut dijemput untuk menghadiri mesyuarat berasingan dengan Presiden AS, Joe Biden.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar juga berkata buat masa ini Malaysia tidak membuat sebarang keputusan berhubung gesaan supaya kerajaan memboikot Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Kita sekarang duduk dengan kerjasama dengan OIC (Pertubuhan Persidangan Islam), Liga Arab.

"Tiap-tiap hari ada ada rundingan perkembangan semasa. Tapi, keutamaan kebanyakannya ialah kemanusiaan dan menghentikan serangan. Itu keutamaan negara Islam," katanya.

Jelas Anwar lagi, Malaysia akan terus mengambil tindakan bersama negara-negara lain berhubung soal bantuan kemanusiaan, makanan dan perubatan ke Palestin.