Sultan Ibrahim prihatin isu-isu rakyat
Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, sememangnya dikenali sebagai seorang Sultan mesra rakyat dan sangat prihatin terhadap isu-isu rakyat.
Sultan Ibrahim diputerakan pada 22 Nov 1958 di Hospital Sultanah Aminah, di Johor Bahru dan merupakan putera sulung kepada Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dan Almarhumah Enche’ Besar Khalsom Abdullah.
Berusia 65 tahun, baginda sangat dikenali rakyat Johor kerana sifatnya yang suka dan sentiasa mendekati rakyat, terutama menerusi Kembara Mahkota Johor yang diilhamkan baginda sejak menjadi Tunku Mahkota Johor lagi.
Ketika berlaku bencana terutama ketika banjir, baginda antara yang terawal turun padang untuk melihat sendiri situasi sebenar, serta mengambil berat terhadap kesulitan yang melanda rakyat Johor.
Sultan Ibrahim juga antara yang lantang bersuara berkenaan kebersihan dan isu-isu alam sekitar, yang menjadi antara perkara yang menjadi perhatian baginda.
Prihatin dengan keresahan rakyat mengenai kos sara hidup yang meningkat, Sultan Ibrahim sering menghulurkan bantuan seperti kotak makanan serta terbaharu, kampit beras kepada golongan miskin.
Malah baginda juga dilihat sering singgah di gerai dan kedai makan di setiap daerah, sambil menyantuni rakyat jelata.
“Saya mendengar dan memahami keresahan dirasai seluruh Bangsa Johor, mengenai kekurangan dan kenaikan harga barangan asas seperti beras dan lain-lain,” titah baginda menerusi Facebook rasmi baginda, baru-baru ini.
Pada temu bual dengan Bernama bulan lepas, Sultan Ibrahim menzahirkan kesediaan untuk melaksanakan tugas untuk negara dan rakyat.
“Ia bukan satu kenaikan pangkat. Ia tanggungjawab yang saya sedia untuk laksanakan bagi pihak Raja-Raja Melayu,” titah baginda serta menambah rakyat akan sentiasa didahulukan, dalam temu bual tersebut.
Dari sudut kepimpinan pula, ciri-ciri kepemimpinan baginda terserlah selepas melibatkan diri di dalam aktiviti ketenteraan, yang turut dijadikan asas bagi membina semangat juang, disiplin serta perwatakan yang berwibawa.
Selain latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada) di Kota Tinggi, baginda pernah mengikuti latihan ketenteraan pegawai muda di Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat, selain menjalani latihan airborne dan ranger untuk pegawai infantri.
Semangat ketenteraan yang tinggi dan tertanam dalam jiwa Sultan Ibrahim, mendorong baginda meneruskan latihan American Special Forces dan Pathfinder di mana, baginda membuat 19 terjunan payung terjun, lapan daripadanya pada waktu malam.
Sultan Ibrahim kemudian dipilih dan ditauliahkan sayap, seterusnya mendapat pengiktirafan sebagai seorang komando, malah lebih membanggakan, baginda turut ditauliahkan sebagai anggota pasukan SEAL (tentera darat, laut dan udara).
Baginda juga melakukan beberapa penerjunan di Bandung, Indonesia sebelum ditauliahkan sebagai ahli kehormat Komando Pasukan Khusus (Kopassus), Indonesia.
Sultan Ibrahim turut menjalani latihan juruterbang helikopter bersama Tentera Udara Diraja Malaysia dan dikurniakan serta menerima sayap pada 26 April 1982, daripada Almarhum Sultan Iskandar.
Selain itu, baginda turut menjalani latihan tentera laut di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut, Perak, sekali gus melengkapkan baginda sebagai pegawai tentera darat, laut dan udara yang berkemahiran.
Sultan Ibrahim, yang juga kekanda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, juga seorang yang meminati pelbagai masakan serta pandai memasak.
Sultan Ibrahim juga mempunyai pelbagai kemahiran, terutama dalam permotoran dan aktiviti air.
Pada 22 Sept 1982, baginda mendirikan rumah tangga bersama Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dan dikurniakan lima orang putera dan seorang puteri.
Baginda juga pernah dilantik sebagai Pemangku Raja semasa Almarhum Sultan Iskandar diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-8, pada 25 April 1984 hingga 25 April 1989.
Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Jan 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai