Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Ini bukan masa untuk tidak memihak

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN | Bagaimana kamu boleh bersikap neutral dalam isu kemanusiaan, ketika hospital yang menempatkan orang tidak berdaya dibom, manakala di luarnya orang awam tidak berdosa dibunuh?

Merujuk kepada bantahan Minggu Solidariti Palestin yang dilaksanakan di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Pemuda Amanah Perak ingin menegaskan bahawa kami menyokong penuh program tersebut dilaksanakan.

Dakwaan oleh Adun Ba’kalalan, Baru Bian, dan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin, yang mendakwa program KPM itu memaksa pelajar berpihak adalah 'sesat' serta tidak tepat sama sekali.

Hal itu kerana program KPM berkenaan dirancang untuk menyatakan solidariti kita - khususnya generasi muda - yang tidak dibataskan oleh perbezaan kaum, agama dan budaya kepada mangsa keganasan rejim Zionis Israel.

Manusia yang waras manakalah sanggup merelakan pembunuhan kanak-kanak, wanita dan orang tua yang tidak berdaya?

Apakah ada manusia yang berfikiran rasional boleh berkecuali atau tidak memihak apabila hospital dibom, bekalan elektrik, air dan kemudahan asas dipotong?

Ini bukan soal memaksa sekolah untuk memihak dalam konflik Palestin-Israel.

Atau jika mahu, kita boleh saja mengakui kita berpihak. Dan kita memihak kepada kemanusiaan.

Kita juga harus sedar sekolah bukan saja berperanan dalam memberi ilmu akademik kepada pelajar tetapi perlu cakna dengan keadaan semasa. Inilah antara inti sesebuah pendidikan.

Seluruh dunia menyatakan solidariti kepada nasib rakyat Palestin di Gaza dan apakah penerapan nilai kemanusiaan kepada murid di sekolah bertentangan dengan mana-mana norma masyarakat yang bertamadun?

Pandangan cetek

Apakah anda merasakan usaha yang dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Palestin juga sesuatu yang melampau kerana kita "memihak"?

Sebagai ahli parlimen mereka sepatutnya menyokong usaha kerajaan kerana kita tidak mahu menjadikan anak-anak kita generasi yang tidak mengambil tahu akan perkembangan dunia.

Lebih menakutkan, kita enggan membiarkan generasi masa depan menjadi manusia yang jahil, buta dan tidak memiliki empati sehingga enggan memihak waima ada ada amalan membunuh kelompok masyarakat tidak berdosa dinormalisasikan.

Justeru, Pemuda Amanah Perak menyatakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap pandangan cetek dua ahli parlimen berkenaan yang gagal mentafsir langkah KPM dalam konteks kemanusiaan.

Kepada KPM, teruskan usaha ini. Sikap sesiapa saja - dalam konteks ini, kebetulannya rejim Israel - yang membedil hospital dan orang awam adalah tidak boleh diterima sama sekali.

Bahkan ia wajib dikutuk sekeras-kerasnya.

Berkenaan kebimbangan NGO Global Human Rights Federation (GHRF) yang mengecam gambar kanak-kanak memegang senjata mainan; ia tidak sepatutnya menjadikan kita paranoid membabi buta.

Program itu lebih kepada mahu memperlihatkan suasana hidup dalam keadaan dikepung oleh rejim yang boleh bertindak sesuka hati, sambil mengacukan senapang atau mesingan ketika menjalani rutin harian.

Menjadikan sekeping gambar sebagai rujukan dan membuat tafsiran sendiri adalah satu tindakan tergesa-gesa.

Kebiasaannya pihak sekolah atau guru akan memberi penerangan dan refleksi dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan. Tidak dapat diterima akal untuk menuduh guru atau pihak sekolah menggalakkan peperangan.


AZHAR RAHMAN ialah exco Pemuda Amanah Perak.

Tulisan ini adalan pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.