Skip to main
Logo Malaysiakini

Ribut: Siling gedung beli-belah di PJ runtuh

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Siling depan anjung pusat beli-belah Megah Rise Mall di Petaling Jaya dekat Kuala Lumpur runtuh dalam kejadian angin kencang dan hujan lebat, petang tadi.

Menurut pihak pengurusan pusat beli-belah itu, tiga individu mengalami cedera ringan dalam kejadian kira-kira 3 petang itu.

Kejadian yang tular menerusi satu video berdurasi 37 saat di media sosial itu memaparkan siling tersebut sedang jatuh dan beberapa orang pengawal dilihat membantu para pengunjung untuk keluar daripada kawasan tersebut.

Terdapat juga pengunjung yang menjerit ketakutan dan bergegas keluar daripada premis terbabit untuk menuju ke kawasan lebih selamat.

“Dukacita dimaklumkan bahawa siling anjung kereta di hadapan pintu masuk Megah Rise Mall runtuh ketika angin kencang dan hujan lebat, kira-kira pukul 3 petang, mengakibatkan tiga orang cedera ringan,” menurut pihak pengurusan Megah Rise Mall menerusi laman rasmi Facebooknya.

“Kami sedang menyiasat punca kejadian dan mengambil tindakan segera untuk mengurus dan menangani keadaan itu," menurut kenyataan.

Megah Rise Mall memaklumkan keutamaan mereka adalah keselamatan dan kesejahteraan pengunjung.

"Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi kami di [email protected]. Kami akan sentiasa memberikan maklumat terkini,” menurut kenyataan itu.

- Bernama