ULASAN | Kenapa perlu jadi algojo?
ULASAN | Kemelut Palestin-Israel bukanlah perkara baru. Secara tepatnya ia bermula pada tanggal 2 November 1917 selepas termeterainya Deklarasi Balfour. Dan ia menjalar lebih 100 tahun, sehingga hari ini.
Saya bukanlah seorang yang arif tentang perihal ini atau dalam bahasa Inggeris, ‘bona fide expert’. Oleh itu, saya tidak berhajat untuk menjadi guru sejarah dan mengulas tentang konflik ini.
Namun baru- baru ini, media sosial dikejutkan dengan satu lagi 'perang' yang tak kunjung reda, di mana seorang pempengaruh tular kerana tidak begitu lantang menunjukkan solidariti terhadap konflik Palestin-Israel. Bukan itu sahaja, dia teruk ‘dibelasah’ oleh ‘tentera bawang’ (keyboard warrior) hanya kerana berpendapat yang dia harus mengukur baju di badan sendiri terlebih dahulu sebelum berbuat apa-apa.
Konflik ini bukan sahaja harus dilihat dari sudut keagamaan, tetapi juga dari sudut kemanusiaan. Pendirian saya tegas menolak jenayah regim Zionis di bumi Palestin dan orang ramai juga perlu mengecam dan menolak kekejaman mereka yang melanggar norma kemanusiaan dan biadab.
Ketika ini, kita boleh lihat ada segelintir pengamal media yang bersikap partisan dan memilih untuk melaporkan skala keganasan konflik ini dengan kurang tepat. Oleh itu, penting bagi kita menggunakan hak kita untuk melaporkan isu ini secara telus dan jujur agar orang ramai terus cakna tentang situasi ini.
Saya akui terpaksa menonton berulang kali video berdurasi empat minit oleh pempengaruh itu tetapi faham apa yang cuba disampaikannya. Saya juga baca komentar-komentar yang ditinggalkan warganet di video itu untuk memahami perspektif mereka.
Saya terkejut apabila rata-ratanya berbaur negatif, biadab dan melampaui batas.
Saya hanya mampu menggeleng kepala melihat warganet yang ralit mengecam wanita itu. Imej kita yang dikenali sebagai masyarakat yang berbudi bahasa dan peramah seolah-olah dibuang ke luar jendela begitu sahaja. Apakah yang sedang berlaku?
Ironinya, saya yang sudah berkecimpung selama lebih lima tahun dalam bidang kewartawanan sendiri bimbang untuk memberi pendapat tentang perkara ini, risau kalau saya pula yang menjadi sasaran buli.
Tapi inilah lumrah kehidupan. Di sini saya bukan sebagai seorang algojo yang sedia untuk menghukum sesuka hati. Terpulang bagaimana anda ingin menafsirkan pandangan ini kerana akhirnya kita tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak, terutama 'nerakazen' (gabungan neraka dan netizen).
Kita bernasib baik kerana sebagai warga Malaysia, kita mempunyai kebebasan bersuara dan bercakap seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. Namun, kebebasan bersuara perlulah disulami dengan etika dan bukan disalahgunakan dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan kesan kepada orang lain.
Sama ada dalam sedar atau tidak, perbuatan ini sudah dikategorikan sebagai buli siber dan ia perlu ditolak sekeras-kerasnya.
Mungkin ini agak keras untuk dinyatakan namun bagi saya, sangatlah tidak wajar untuk sesiapa saja menjadikan perkongsian media sosial sebagai tanda aras untuk menilai sama ada individu itu cakna ataupun tidak.
Apa yang tidak dapat diterima akal ialah apabila seseorang seperti pempengaruh, selebriti ataupun sesiapa sahaja yang tidak begitu aktif ataupun tidak lantang bersuara tentang isu Palestin-Israel, mereka terus dihukum sebagai ‘neutral’. Seolah-olah mereka dipaksa untuk bercakap tentang isu ini.
Apakah tujuan utama kita sebenarnya? Adakah solidariti kita atas dasar keikhlasan dan perikemanusiaan atau mengikut arus semata-mata?
Mungkin sesetengah pihak mempunyai pendirian dan cara tersendiri untuk menunjukkan solidariti mereka. Ada yang memilih untuk bersikap lantang, ada juga yang lebih suka menunjukkan solidariti mereka di belakang tabir.
Barangkali juga seseorang itu memilih untuk diam kerana mahu mendalami kerumitan konflik ini terlebih dahulu sebelum memberi kata putus.
Seterusnya, sudah-sudahlah kita mengagung-agungkan pempengaruh dan selebriti dan meletakkan mereka di tempat yang tinggi. Berhenti bergantung kepada mereka dalam aktivisme. Mereka bukanlah golongan yang sesuai untuk memberi pendapat mendalam tentang isu ini. Begitu banyak sosok-sosok aktivis di luar sana yang lebih tahu tentang kerumitan isu ini.
Tugas kita adalah terus berbicara dan berbincang tentang konflik ini agar ramai lebih cakna, bukannya membuka ruang perbalahan dan membuli orang lain kerana bersikap ‘pasif’ tentangnya.
Kita boleh mengkritik namun janganlah sampai mengherdik mana-mana individu dalam perbezaan seumpama ini.
PIA ERNADYA ialah wartawan Malaysiakini.
Artikel ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal berita ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai