Pemilihan Amanah: Pemuda gesa ahli tolak kempen berlebihan
Pemuda Amanah menegaskan kepada ahlinya agar tidak berkempen secara berlebihan menjelang pemilihan sayap itu bagi mengelakkan perpecahan yang berlaku sebelum ini.
"Kami menolak kempen yang berlebihan kerana pemilihan ini adalah di kalangan keluarga besar Amanah. Oleh itu, Pemuda Amanah harus mengambil pendekatan yang rahmah dalam berkempen.
"Kami berharap pemilihan kali ini tidak akan mengulangi isu perpecahan seperti sebelum ini," kata pengarah komunikasinya Hazmi Hassan dalam kenyataan hari ini.
Walaupun tidak merujuk mana-mana pihak, kenyataan itu dikeluarkan dua hari selepas Timbalan Ketua Pemuda Amanah Razak Ridzuan mengkritik pucuk pimpinan yang didakwa gagal, terutama dalam menyaingi Pemuda PN.
Menggesa akar umbi membuat perubahan radikal, Razak berkata kepimpinan sekarang perlu berjiwa besar dan berani mengambil tanggungjawab atas kelemahan sekarang, bukannya menyatakan minat untuk mempertahankan jawatan.
Dia juga menyifatkan keinginan Pemuda Amanah untuk mengelak persaingan dalam parti adalah sikap mundur sehingga menutup menutup ruang kepada pembaharuan.
Mengulas lanjut, Hazmi menyangkal dakwaan sayap itu mengelak pesaingan, sebaliknya menegaskan perlembagaan parti telah menetapkan jawatan Ketua Pemuda tidak dipertandingkan secara terbuka.
"Saya ingin menjelaskan bahawa dalam pemilihan Pemuda Amanah, tiada pertandingan bagi jawatan Ketua Pemuda diadakan.
"Jawatan itu hanya akan dipilih dari kalangan 27 orang jawatankuasa yang bertanding (di peringkat nasional) dan menang.
"Namun, Pemuda Amanah tidak pernah menghalang mana-mana AJK untuk bertanding sama ada di peringkat cawangan, kawasan, negeri mahupun nasional," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai