Skip to main
Logo Malaysiakini

Loke: Wakil rakyat DAP tak capai KPI akan diganti

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke memberi peringatan kepada wakil rakyat parti itu bahawa mereka akan digantikan dengan barisan pelapis sekiranya tidak mencapai indeks prestasi utama (KPI) yang diharapkan parti.

Loke berkata DAP mempunyai wakil di semua peringkat kerajaan pusat, kerajaan negeri dan dan pihak berkuasa tempatan dan kesemua mereka sentiasa dinilai oleh pucuk pimpinan.

“Kita kena ingat bahawa pada hari ini apabila kita diberi mandat yang begitu besar, harapan daripada rakyat juga sangat besar.

“Justeru itu seluruh kepimpinan dan keahlian DAP mesti terus berusaha bertungkus lumus dan paling penting kita mesti mengingatkan diri untuk sentiasa berkhidmat kepada rakyat,” katanya dalam ucapan di Konvensyen DAP Perak ke-22 di Ipoh hari ini.

Turut hadir Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.

Loke yang juga menteri pengangkutan berkata kesemua mereka dikehendaki memainkan peranan untuk memastikan dasar dan perjalanan kerajaan di semua peringkat berjalan lancar dan baik serta memberikan manfaat kepada rakyat yang merupakan pengukur KPI dan objektif yang perlu dipenuhi mereka.

“Anda telah diberikan amanah, diberikan peluang menjadi calon bagi pihak DAP. Kita mesti buat yang sebaik mungkin, jangan sesekali memalukan parti ini dengan tidak menunaikan tanggungjawab sebagai calon dan wakil rakyat,” katanya.

Dia berkata DAP mempunyai barisan pelapis yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai wakil rakyat khususnya di Perak.

“Setiap kali pilihan raya ada wakil rakyat yang hendak bersara ataupun mengundurkan diri jadi akan ada peluang kepada pelapis-pelapis ini,” katanya.

-Bernama