Skip to main
Logo Malaysiakini

Wan Saiful: Dulu PH bantah, sekarang kitar semula kaedah bayar PTPTN

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) menyindir kerajaan berhubung cadangan kaedah pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui kaedah Income Contingent Loan (ICL) seperti diumum Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dakwanya, pada Disember 2018, dia telah mengemukakan cadangan sama iaitu skim Potongan Gaji Berjadual (PGB) atau Income Contingent Loan Repayment (ICLR), namun sejurus pengumuman tersebut, dia mendapat bantahan dan tekanan daripada beberapa pemimpin Pakatan Harapan.

Kata bekas pengerusi PTPTN itu, antara yang memberi tekanan termasuklah Anwar dan Ketua Pemuda PKR (AMK) pada masa itu, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

"Anwar dan Akmal membantah dan memberikan tekanan kepada saya kerana tidak bersetuju dengan skim ICLR yang saya umumkan," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Kata Wan Saiful, Akmal ketika itu meminta agar pelaksanaan skim ICLR itu ditangguhkan manakala Anwar dikatakan mahu menghantar nota berkaitan “keresahan” beberapa peminjam kepada menteri pendidikan dan pengerusi PTPTN.

"Sekarang, sudah jadi YB (Johor Bahru) dan timbalan menteri, bantahan pun lenyap.

"Saya nak maklumkan sepanjang empat tahun jadi pengerusi PTPTN, nota tersebut tak pernah sampai, malah, saya sendiri mohon berjumpa dengannya (Anwar) bagi menerangkan cadangan tersebut beberapa bulan kemudian dan beliau pada masa itu masih tidak setuju atas alasan ia tidak popular.

"Hari ini mereka sendiri mengulang kembali cadangan yang saya pernah bawa lima tahun lalu," katanya lagi.

Pada 23 Okt lalu, Anwar berkata cadangan pembayaran balik dengan kaedah ICL adalah praktikal dan tidak membebankan peminjam.

Mengulas lanjut, Wan Saiful turut mencadangkan agar kerajaan mengembalikan fungsi PTPTN sebagai agensi tabungan pendidikan selain menubuhkan jawatankuasa pelaburan untuk melabur dalam pasaran berkepulangan tinggi.

"Beri lebih banyak inisiatif untuk menabung, bentuk jawatankuasa pelaburan dianggotai profesional dan benarkan PTPTN melabur baik di dalam mahupun di luar negara.

"Selain itu, muktamadkan kaedah bayaran balik PTPTN yang tidak membebankan peminjam,” katanya.

Dia turut menyatakan bahawa liabiliti PTPTN amat besar kepada kerajaan dan boleh menjadi lebih besar daripada 1MDB selain meminta agar agensi itu dipindahkan dari KPT ke Kementerian Kewangan.

"PTPTN adalah agensi kewangan, bukan pendidikan," katanya lagi.