Skip to main
Logo Malaysiakini

Tenaga nuklear: Pakar sokong, pencinta alam bantah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pakar tenaga mempertahankan sokongan kontroversi mereka terhadap nuklear, menjadi antara pilihan untuk beralih daripada bahan api fosil kepada sumber kuasa yang lebih mampan.

Gary Theseira dan Ganesha Pillai, dalam membincangkan pelan hala tuju peralihan tenaga Malaysia pada persidangan mengenai peralihan tenaga di Petaling Jaya pada Isnin (30 Okt), berkata kuasa nuklear merupakan sumber tenaga mampan yang paling cekap.

Mereka juga mendakwa teknologi nuklear paling "kalis (kesan) iklim" dan tidak akan bergantung pada perubahan cuaca yang lebih tidak dapat diramalkan akibat perubahan iklim.

Bagaimanapun, kenyataan mereka menerima bantahan yang kuat daripada hadirin, yang kebanyakannya aktivis masyarakat, pencinta alam sekitar, penyelidik, pakar dasar dan pakar tenaga lain.

Gambar fail, modul teras reaktor untuk reaktor modular 125MW - digelar Linglong-1 - diturunkan ke dalam bangunan reaktor sebuah loji nuklear di Hainan, China, pada 10 Ogos 2023.

“Satu-satunya sumber tenaga yang cukup kalis iklim ialah nuklear.

“Saya tahu (kenyataan) ini kontroversi kerana (teknologi) nuklear (pada masa lalu) dan tahap (teknologinya) pada hari ini.

"Tetapi saya percaya, (perkembangan) nuklear (pada tahap ia bergerak sekarang) ia sangat selamat,” kata Theseira, anggota Tadbir Urus Iklim Malaysia.

Selanjutnya, para pakar memetik pelbagai sumber data, berkata nuklear juga merupakan sumber tenaga paling selamat berdasarkan jumlah kematian akibat kegagalan nuklear, berbanding sumber tenaga lain, bagi setiap jumlah tenaga yang dihasilkan.

Penyelidik kanan NGO Sahabat Alam Malaysia Shamila Ariffin menyoal dakwaan para panelis bahawa teknologi nuklear sudah bertambah baik.

Dia berkata para saintis tenaga nuklear pernah bercakap hal yang sama 20 tahun lalu dan sejak itu telah banyak contoh kegagalannya.

"Kebanyakan orang menentangnya kerana mereka tidak memahami sejauh mana teknologi telah bertambah baik. Kita mempunyai persepsi negatif terhadap tenaga nuklear kerana banyak yang telah berlaku.

"(Tetapi) jumlah kematian, ia jauh lebih sedikit berbanding sumber tenaga lain," kata Ganesha, penyelidik kanan di Asia School of Business.

Kenyataan para pakar ini susulan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata walaupun terdapat kebimbangan mengenai aspek keselamatan namun tenaga nuklear "adalah sesuatu yang tidak boleh kita tolak sama sekali" dalam usaha mencapai sasaran menyah karbon.

Antara keselamatan dan keperluan

Menolak kembali idea nuklear sebagai sumber tenaga dalam peralihan daripada bahan api fosil, hadirin persidangan itu menyoal ukuran risiko dan ketersediaan sumber-sumber tenaga lain.

Ini termasuk moderator panel dan Pengarah Eksekutif NGO Third World Network Chee Yoke Ling, yang berkata risiko tidak harus dikira berdasarkan jumlah kematian tetapi bilangan orang yang boleh terjejas jika berlaku kesilapan.

Gambar fail, loji tenaga nuklear terapung Akademik Lomonosov milik Rusia.

Dalam pada itu, ahli panel juga ditanya sekiranya kemajuan teknologi boleh mengurangkan risiko serangan luar ke atas loji kuasa, seperti bom dalam situasi perang.

Menjawab kebimbangan itu, Theseira mengakui memang akan sentiasa ada risiko tetapi dia yakin ia boleh diuruskan secara munasabah.

Dia memberikan perumpamaan pesawat jet penumpang untuk penerbangan transatlantik, yang kini hanya mempunyai dua enjin dan bukannya empat, kerana kemungkinan kegagalan enjin kini sangat rendah.

"Kita harus faham bahawa risiko tidak boleh dihapuskan tetapi anda sanggup menaiki pesawat yang hanya mempunyai dua enjin sedangkan sebelum ini anda hanya dibenarkan menaiki pesawat dengan empat enjin," katanya.

Perlu ada penilaian dulu

Theseira berkata reaktor modular kecil telah digunakan pada kapal pengangkut pesawat dan kapal selam selama bertahun-tahun tanpa masalah.

Jelasnya lagi, pihak yang bekerja untuk membina loji nuklear berusaha mengurangkan risiko yang tidak dijangka seperti satelit yang terhempas dari langit.

"Mereka sedang membuat rekaan bentuk reaktor modular...beberapa tingkat ke bawah tanah," kata Theseira, yang pernah berkhidmat di kementerian yang menjaga alam sekitar selama kira-kira dua dekad, termasuk di bawah teraju Yeo Bee Yin ketika dia menjadi menteri pada era PH 2018.

Imaginasi rekaan artis oleh NuScale yang menggambarkan bagaimana reka bentuk reaktor kecil dan sederhana (SMR) yang dicadangkan boleh diangkut ke darat dengan lori.

Pun begitu, Theseira menerima pandangan hadirin bahawa perlu ada penilaian mengenai tahap permintaan tenaga sebenar terlebih dahulu, dan sama ada tenaga itu boleh dijana melalui cara yang muda atau tidak sebelum memperuntukkan pelaburan besar terhadap tenaga nuklear.

Ini mungkin termasuk mengumpul gas metana yang dilepaskan di ladang kelapa sawit atau tapak pelupusan sanitari dan menyalurkannya untuk kegunaan umum.

Bagaimanapun, ahli panel menegaskan bahawa banyak kilang sawit masih belum mendapar insentif untuk menjual gas metana yang mereka hasilkan dan hanya membakarnya melalui suar, menghasilkan pelepasan karbon dan bukannya penjimatan karbon.

Ini kerana tiada infrastruktur untuk menjual gas metana, dan pada masa ini lebih murah dari segi ekonomi untuk membeli bahan api bersubsidi, berbanding menggunakan metana di kilang mereka sendiri.

Biogas, metana

Theseira, berkata biogas seperti gas metana, harus menerima tumpuan yang lebih besar dalam peralihan tenaga, terutamanya sebagai cara yang jauh daripada tenaga gas asli.

Pada masa ini, gas asli dilihat sebagai bahan api peralihan untuk beralih daripada arang batu untuk loji penjana elektrik, tetapi apa yang berlaku selepas itu tidak jelas.

“Gas ada (dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional), bukan sahaja sebagai bahan api peralihan tetapi sebagai komponen teras.

“Kita perlu beralih daripada itu, walaupun hanya melalui biogas. Kami mempunyai banyak punca yang melepaskan gas metana, bermula dengan tapak pelupusan sanitari,” katanya.

"Jumlah keseluruhan sumber tenaga masih sangat sedikit."

Ganesha juga mengingatkan mengenai matlamat 70 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050 ditetapkan di NTER, kerana ini hanya berkaitan dengan kapasiti tersedia, dan bukan tenaga sumber sebenar yang akan digunakan.

Sebahagian daripada ini kerana grid elektrik, yang dibina pada zaman penjajah dibuat untuk bahan api fosil dan bukan tenaga boleh diperbaharui.

Sebahagian besar tenaga boleh diperbaharui yang dijana di Malaysia juga dijual di luar negara kepada negara seperti Jepun dan Korea Selatan, menyumbang kepada matlamat sifar bersih negara berkenaan.

“Sumber utama (penggunaan tenaga tempatan) masih fosil, walaupun kapasiti tersedia(untuk tenaga boleh diperbaharui) lebih tinggi,” katanya.

[Baca berita asal]