Skip to main
Logo Malaysiakini

KBS takkan hukum dasar sukan k'jaan negeri - Adam Adli

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Kementerian Belia dan Sukan tidak akan menghukum mana-mana peraturan atau dasar yang ditetapkan oleh kerajaan negeri berkaitan sukan.

Timbalan menteri Adam Adli berkata kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk berbuat demikian dan peraturan sedemikian bukan di bawah bidang kuasa kementeriannya.

"Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil maklum pandangan-pandangan kerajaan negeri sesuai dengan hak mereka.

"Kita tidak mahu meletakkan satu hukuman terhadap apa kesan kepada dasar ataupun peraturan yang dikeluarkan.

"Namun demikian kita yakin setiap isu yang timbul boleh dibincangkan," kata pada ucapan penggulungan perbahasan RUU Perbekalan 2024 peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Adam Adli menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) yang menyoal sekiranya akan timbul isu pakaian atlet sekiranya Sukan Malaysia (Sukma) dianjurkan di Terengganu.

Chow secara khususnya membangkitkan persoalan mengenai pakaian sukan gimnastik dan menyelam.

Kerajaan negeri Terengganu pimpinan PAS telah melarang gimnas wanita daripada mewakili negeri di Sukma sejak 2019 atas alasan pakaian mereka tidak patuh syariah.

Gambar hiasan, sukan wushu ganti gimnastik.

Beberapa gimnas memberitahu Malaysiakini, mereka terpaksa memilih sukan lain seperti wushu.

Malah satu-satunya gimnas wanita bukan Islam di Terengganu telah menarik diri daripada mewakili negeri itu memandangkan ketiadaan rakan sepasukannya yang lain dalam sukan itu.

Terdahulu, Adam berkata pihak KBS telah bertemu dengan bekas gimnas wanita Terengganu.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mempengerusikan mesyuarat itu bersama gimnas tersebut pada minggu lepas.

"Kementerian Belia dan Sukan pada 26 Oktober 2023 telah pun mengadakan mesyuarat bersama-sama dnegan Persatuan Gimsnatik Negeri Terengganu yang turut dihadiri oleh presiden, ahli jawatan kuasa persatuan dan ibu bapa atlet gimnastik ini.

“Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YAB menteri belia dan sukan.

"Mesyuarat tersebut diadakan untuk membincangkan isu atlet gimnastik wanita Terengganu yang dilarang untuk menyertai Sukma berikutan penetapan garis panduan sukan di peringkat negeri.

"Mesyuarat turut membincangkan pelbagai langkah bersesuaian untuk menyelesaikan isu ini,” katanya lagi.

Menurut Adam, pihak KBS bersedia untuk bertemu dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu Hishamuddin Abdul Karim berhubung perkara itu.