Skip to main
Logo Malaysiakini

Rafizi kembali ke Dewan Rakyat lepas prosedur stent jantung

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli kembali bertugas, selepas menjalani prosedur penempatan stent jantung baru-baru ini.

Ahli parlimen Pandan itu hadir di Dewan Rakyat hari ini untuk menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya mengenai Rang Undang-undang Perbekalan 2024.

Rafizi mengambil kesempatan untuk mengingatkan rakan sejawatnya di Dewan Rakyat untuk membuat pemeriksaan kesihatan jantung secara berkala.

"Risiko itu bukan sahaja risiko kepada menteri tetapi risiko disebabkan oleh gaya hidup kita terutamanya oleh kolesterol yang tinggi.

"Saya ada rekod kolesterol yang tinggi selama 20 tahun dan akhirnya itu sudah tentu akan menyebabkan ada masalah pada jantung," katanya.

Rafizi mengalami serangan jantung dua minggu lalu, pada 16 Okt, dan dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan seterusnya menjalani prosedur penempatan stent jantung.

Ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, seperti Howard Lee (PH-Ipoh Timor) dan Awang Hashim (PN-Pendang) memuji menteri itu kerana cepat sembuh.

Awang menambah bahawa dia bersyukur kerana Rafizi telah kembali dan bahawa "negara memerlukan kita semua".

Dia kemudian dalam nada bergurau berkata bahawa dia bersikap sangat sopan ketika bercakap dengan Rafizi hari ini.

Rafizi kemudian menjawab: "Untuk rekod, Pendang sentiasa dekat di hati saya dan sentiasa bersopan"