Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO: Dasar lapuk halang Orang Asli dapat bekalan elektrik

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Dasar berkaitan masyarakat Orang Asli menghalang usaha untuk membekalkan tenaga elektrik kepada komuniti tersebut, walaupun daripada mereka yang telah berjaya membekalkan elektrik di kawasan paling terpencil di Sabah dan Sarawak melalui kaedah luar grid.

Demikian menurut Adrian Lasimbang, yang sudah lebih dua dekad bekerjasama dengan masyarakat pedesaan dan pedalaman untuk membekalkan elektrik di kampung mereka termasuk menggunakan tenaga mikro hidro dan solar.

Lasimbang, yang juga pengasas NGO Tonibung, berkata kumpulannya telah mencuba beberapa kali untuk menyediakan teknologi sama yang telah membekalkan tenaga elektrik untuk masyarakat pedalaman di Malaysia Timur kepada masyarakat Orang Asli yang tidak mempunyai bekalan elektrik di Semenanjung.

Tonibung ialah kumpulan bukan bermatlamatkan keuntungan yang diterajui Orang Asal Sabah yang membangunkan alternatif mampan kepada bekalan elektrik luar bandar, yang berpangkalan di Penampang.

Dia berkata kumpulannya mula meninjau untuk mengembangkan kerja mereka ke Malaysia Barat selepas menerima geran daripada pembiaya antarabangsa untuk meningkatkan kesalinghubungan di kawasan pedalaman.

“Tetapi kami dihalang oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), kerana mereka kata hanya TNB (Tenaga Nasional Bhd) saja yang boleh memberi bekalan elektrik kepada Orang Asli.

"Saya tidak boleh menyalahkan mereka kerana itu adalah rangka kerja mereka, tetapi melainkan dasar ini berubah, kita tidak boleh menyediakan bekalan elektrik ke semua perkampungan Orang Asli," katanya pada persidangan mengenai peralihan tenaga di Petaling Jaya hari ini.

Dianggarkan 17 peratus - atau 142 perkampungan Orang Asli - masih tidak mendapat bekalan elektrik, menurut data rasmi.

Lasimbang berkata Tonibung hanya berjaya membantu dua kampung Orang Asli mendapatkan bekalan elektrik melalui sistem tenaga boleh diperbaharuinya di Selangor dengan bantuan exco alam sekitar Selangor ketika itu Elizabeth Wong.

“Kami berjaya mendapatkan beberapa projek lagi (di perkampungan Orang Asli) selepas itu tetapi kami tidak dapat meneruskan kerana Jakoa tidak akan memberi kelulusan,” katanya.

'Bukan salah Jakoa'

Tonibung merupakan sebahagian daripada konsortium Pelan Hala Tuju Elektrifikasi Luar Bandar Tenaga Boleh Diperbaharui Sabah (SabahRE2), yang telah memetakan lebih kurang 250 kampung dari 400 lebih kampung yang diketahui berada di luar grid elektrik di Sabah.

Dia memberitahu Malaysiakini kesalahan itu bukan terletak pada Jakoa, tetapi peraturan dan dasar yang mengawal Orang Asli.

“Ia tidak dikemas kini sejak kita cuba melindungi Orang Asli daripada komunis di dalam hutan,” katanya.

Oleh sebab itu, katanya hanya entiti tertentu sahaja yang dibenarkan membekalkan tenaga elektrik kepada masyarakat.

Selain TNB, Jakoa juga bekerjasama dengan kumpulan lain untuk menyediakan penyelesaian kuasa luar grid untuk masyarakat Orang Asli, termasuk Petronas dan agensi kerajaan yang berbeza.

Pada April, Malaysiakini juga melaporkan bagaimana syarikat tenaga solar Sols Energy mengusahakan projek elektrifikasi untuk masyarakat Orang Asli, tetapi dengan kerjasama agensi dan syarikat berkaitan negeri.