Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Menanti barisan baru pemimpin Amanah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN | Tahun ini, sejarah bakal tercipta. Selepas beberapa kali tertangguh, parti Amanah akan mengadakan pemilihan partinya yang dijangka pada bulan Disember nanti.

Saya sebagai orang awam dan ahli akademik sangat berminat untuk melihat bagaimana pemilihan parti ini boleh mencorak masa hadapan sebuah parti yang dilihat sebagai ‘PAS 2.0’ namun lebih sederhana dalam gabungan kerajaan perpaduan sekarang.

Bak kata penulis veteran, Mohsin Abdullah, Amanah dilihat sebagai pemberi ‘wajah Islam dan Melayu’ kepada gabungan yang dianggotai parti berbilang agama dan bangsa.

Ertinya, Amanahlah yang sepatutnya membawa nama dan versi ‘parti Islamik’ dan ‘parti Melayu’ bagi melawan naratif yang dibawa oleh PAS terutamanya dalam Perikatan Nasional (PN).

Malah tema yang diangkat oleh Amanah sebagai sebuah gerakan politik Islam yang membawa rahmat ke seluruh alam (Rahmatan lil a’lamin) adalah satu gerakan yang sangat berpotensi besar untuk berjaya dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia.

Prestasi hambar pilihan raya

Berbalik kepada isu utama, pemilihan parti ini juga sepatutnya menjadi titik tolak untuk parti Amanah menjadi sebuah parti yang lebih relevan dan signifikan terutamanya bagi menghadapi PRU16.

Walaupun PRU seterusnya masih lama, namun pemilihan Amanah kali ini sangat penting untuk mencorakkan keberlangsungan sebuah parti yang dilihat sangat berpotensi untuk menjadi parti sandaran terutamanya bagi masyarakat Melayu Islam.

Namun, dari sudut prestasi parti Amanah dalam konteks PRU15 dan PRN yang lalu, keputusan dari pengundi-pengundi nampaknya belum begitu meyakinkan. Amanah hanya mampu memenangi lapan kerusi parlimen daripada 54 yang ditandinginya, malah merosot tiga kerusi dari PRU14.

Alasan yang diberikan, kononnya berpunca daripada gelombang sentimen Melayu Islam yang dimainkan dengan menjadikan DAP sebagai punching bag - ia merupakan kenyataan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil, seperti dipetik media.

Selain PRU15, prestasi Amanah turut hambar dalam PRN yang berlangsung pada Ogos lalu. Amanah hanya mampu mencipta kemenangan di lapan DUN daripada 31 yang ditandinginya.

Penulis cuba menyemak DUN yang dimenangi Amanah, kebanyakannya di kubu kuat PH seperti di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Namun, kredit juga perlu diberikan Amanah apabila berjaya memecahkan dominasi PAS di Kelantan apabila berjaya merampas satu DUN di sana. Bukankah ini satu indikator yang kuat serta a wake up call yang sangat kuat untuk Amanah melakukan perubahan?

Bekas ketua hakim negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dalam sebuah coretan beliau menjelaskan Amanah gagal dalam menarik undi orang Melayu terhadap parti itu. Malah, orang Melayu lebih berpihak kepada PAS atas beberapa faktor. Faktor yang diterangkan banyak, namun penulis dapat menyimpulkan Amanah tidak dilihat setaraf dengan parti-parti besar yang lain dalam gabungan PH.

Malah, Amanah dilihat sebagai parti picisan dan hanya mengikut acuan yang telah ditetapkan pimpinan PH terutamanya dari PKR dan DAP. Nak tambah garam di luka yang ada, Timbalan Ketua Pemuda Amanah sekarang, Razak Ridzuan dalam sebuah laporan menyatakan Pemuda Amanah gagal untuk menarik perhatian anak-anak muda untuk menyokong parti itu dan reformasi perlu dilakukan segera.

Pengganti Mat Sabu

Perlu diingatkan, undi anak muda sangat signifikan sekarang sejak Undi-18 diperkenalkan dan adanya media sosial. Persoalannya, adakah ahli-ahli serta pimpinan parti masih leka dan tidak sedar apa yang perlu dilakukan perubahan?

Setelah lapan tahun parti ini ditubuhkan, pimpinannya tidak pernah berubah. Selama hampir sedekad, Amanah diterajui oleh kini Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu.

Mat Sabu adalah veteran politik yang telah berjuang lama sebelum ini dengan PAS sebelum menubuhkan Amanah. Bukanlah ingin mengecilkan kemampuan beliau, namun tiada perubahan drastik serta pencapaian yang boleh dibanggakan sepanjang Mat Sabu menjadi presiden.

Ya, Mat Sabu cukup setia dan istiqamah dalam perjuangan. Mat Sabu juga sangat berpengalaman sebagai menteri kini dan bekas menteri pertahanan, namun Amanah perlu bergerak ke hadapan dengan menggunakan acuan baru yang lebih padu dan ummph!

Kini, bukan masa untuk bermain dengan sentimen dan emosi. Memandangkan terdapat syarat yang menyatakan seseorang presiden itu tidak boleh memegang jawatan tersebut melebihi tiga penggal, ini adalah masa yang terbaik untuk Amanah melakukan perubahan. Jadi, siapa yang patut diangkat sebagai Presiden seterusnya?

Penulis ada terbaca sebuah artikel, kononnya terdapat pergolakan yang berlaku dalam Amanah menjelang pemilihan parti Disember nanti. Ada dinyatakan ura-ura bahawa salah seorang Naib Presiden Mujahid Yusof Rawa antara calon yang berpotensi untuk menjadi presiden seterusnya.

Jika dilihat dari sejarah, Mujahid pernah memegang jawatan sebagai menteri agama. Ketika menjawat jawatan berkenaan, beliau begitu dahsyat difitnah dan diserang kiri dan kanan dalam pelbagai isu dalam waktu yang singkat terutamanya melibatkan kes Tabung Haji.

Mujahid dilihat lebih terbuka dan bersifat inklusif semasa memegang jawatan sebagai menteri agama dan kini juga terbukti semua tohmahan kepadanya melibatkan Tabung Haji ternyata tidak benar.

Dengan tiada jawatan di parlimen dan menjadi senator di Dewan Negara, mungkin ini peluang Mujahid untuk menggunakan masa yang ada untuk revamp dan lakukan suatu pembaharuan dalam Amanah.

Beliau juga bukan calang-calang dari sudut personalitinya. Beliau adalah anak ulama dan bekas Presiden PAS Yusof Rawa, mempunyai PhD dalam bidang perbandingan agama dan sangat aktif dalam menonjolkan pendekatan yang berbeza terhadap politik Islam dengan menekankan dialog antara agama, kesederhanaan, dan pendekatan yang lebih progresif dan inklusif.

Mungkin inilah peluang yang patut digunakan Mujahid untuk melakukan “tajdid” dalam gerakan politik Amanah. Ia seolah-olah blessing in disguise dengan kekalahan beliau dalam PRU-15 yang lalu untuk memberikan jiwa dan raganya jika dipilih sebagai Presiden Amanah yang seterusnya.

Akhir kalam, penulis tidak tahu apa akan terjadi di pemilihan parti nanti. Namun, Amanah perlu bangun dari lamunan yang panjang. Ahli-ahli serta pimpinan perlu bangun segera dan fokus dalam menjalankan agenda parti yang utama dalam membawa versi Islam yang sederhana dan terbuka untuk semua.

Turun padang dan maksimumkan penggunakan media sosial masing-masing untuk menjelaskan visi dan misi parti agar masyarakat terutamanya anak-anak muda sedar akan kewujudan Amanah.

Semua yang disebutkan penulis ini, harus bermula dengan pimpinan baru yang lebih bersemangat, fokus dan berani untuk melakukan perubahan. Semoga dipermudahkan Allah.


MUHAMMAD RAQIB MOHD SOFIAN ialah seorang pensyarah kanan kewartawanan di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam dan peminat politik tanah air.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.