Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas pegawai PBB kecam genosid di Gaza

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pengarah pejabat New York bagi pesuruhjaya tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) bagi hak asasi manusia, Craig Mokhiber meletak jawatan, dengan mengatakan bahawa PBB tidak berdaya untuk menghalang pembunuhan beramai-ramai.

Mokhiber berkongsi surat yang ditujukan kepada pesuruhjaya tinggi PBB di Geneva, Volker Turk, dengan wartawan dan aktivis yang menyiarkannya di platform media sosial X (dahulunya dikenali sebagai Twitter).

“Saya sangat faham bahawa konsep genosid sering menjadi subjek penyalahgunaan politik. Tetapi pembunuhan rakyat Palestin ketika ini, yang berakar pada ideologi penjajah etno-nasionalis, dalam kesinambungan berdekad-dekad penganiayaan dan pengusiran sistematik mereka, semata-mata atas alasan kerana mereka orang Arab … tidak meninggalkan ruang untuk keraguan.”

"Ini adalah contoh lazim pembunuhan beramai-ramai

"Apatah lagi kerajaan AS, UK dan sebahagian besar Eropah terlibat sepenuhnya dalam serangan ngeri itu. Bukan sahaja kerajaan ini enggan memenuhi tanggungjawab perjanjian mereka di bawah Konvensyen Geneva tetapi juga secara aktif mempersenjatai serangan itu, menyediakan sokongan ekonomi dan perisikan, dan menyediakan perlindungan politik dan diplomatik," tulisnya.

Mokhiber bertugas untuk PBB sejak 1992 dan bertindak sebagai penasihat kanan hak asasi manusia di Palestin, Afghanistan dan Sudan. Dia juga tinggal di Gaza sebagai penasihat hak asasi manusia pada 1990-an.

“Sekali lagi kita melihat pembunuhan beramai-ramai berlaku di hadapan mata kita dan organisasi ini kelihatan tidak berdaya untuk menghalangnya,” katanya, memetik kegagalan PBB sebelum ini untuk melindungi Tutsi di Rwanda, Muslim Bosnia, Yazidi di Iraq dan Rohingya di Myanmar.

Lebih 8,000 rakyat Palestin dan 1,400 warga Israel telah terkorban sejak konflik terbaru meletus pada 7 Okt.

Mokhiber berkata bahawa bahagian penting PBB telah menyerah kepada kuasa AS dan takut kepada lobi Israel. Dia juga menggesa penyelesaian dua negara dihentikan.

“Kita mesti menyokong penubuhan negara sekular tunggal yang demokratik di seluruh Palestin yang bersejarah, dengan hak yang sama untuk orang Kristian, Islam, dan Yahudi,” tulisnya.

Dalam satu kenyataan kepada media, Pejabat Hak Asasi Manusia berkata, "Encik Mokhiber bersara hari ini. Pandangan dalam suratnya adalah pandangan peribadinya. Kedudukan Pejabat ini dicerminkan dalam laporan dan kenyataan awamnya."