Skip to main
Logo Malaysiakini

PM: Dua MP Bersatu tak berunding dengan saya, mana-mana menteri

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan dia tiada pengetahuan awal berhubung hasrat Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman untuk menyokong pentadbirannya.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini, Anwar berkata kedua-dua ahli parlimen PN itu tidak mengadakan perbincangan dengannya atau mana-mana menteri berkenaan perkara itu.

"Kalau mahu penjelasan, boleh tanya Kuala Kangsar dan Labuan.

"Saya alu-alukan kematangan dan kebijaksanaan mereka," kata Anwar.

Dia berkata demikian ketika mengulas pertanyaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) berhubung jika ada prosedur operasi standard (SOP) untuk ahli parlimen pembangkang mendapat peruntukan pembangunan.

Syed Saddiq juga bertanya jika rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof sudah memadai atau ahli parlimen pembangkang perlu mengikut jejak langkah Iskandar dan Suhaili dengan menyuarakan sokongan terhadap kepimpinan Anwar.

Iskandar dan Suhaili - kedua-duanya anggota Bersatu - menyuarakan sokongan kepada Anwar bulan lalu. Mereka antara lain berkata keputusan itu ekoran peningkatan kos sara hidup di kawasan mereka.

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainunddin kemudian mendakwa Iskandar diugut akan berdepan tuduhan rasuah di mahkamah jika tidak menyokong Anwar. Dia bagaimanapun tidak menyertakan bukti untuk menyokong dakwaan itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata suruhanjaya itu tidak terlibat manakala Ketua Polis Negara Razarudin Husain memaklumkan tiada laporan polis dibuat berkenaan perkara itu.

Dengan pertambahan sokongan tersebut, Anwar kini menerima sokongan 149 ahli Parlimen - melepasi majoriti dua pertiga dan justeru boleh meminda Perlembagaan Persekutuan.