Skip to main
Logo Malaysiakini

'Semua pihak disaran buat laporan berkenaan kesalahan pilihan raya'

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Dewan Rakyat diberitahu semua pihak digesa membuat laporan berhubung kesalahan semasa pilihan raya termasuk salah guna jentera kerajaan.

Dalam jawapan bertulis Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata anggota kerajaan ada tanggungjawab untuk melaksanakan tugas mereka pada setiap masa, termasuk ketika pilihan raya.

"Kerajaan juga sentiasa memberi perhatian terhadap semua maklum balas yang diberikan oleh mana-mana pihak bukan sahaja sewaktu musim pilihan raya tetap juga pada sepanjang masa supaya tata kelola dan tanggungjawab pada peringkat kementerian/jabatan dilaksanakan dengan sewajarnya," katanya.

Namun, katanya, mana-mana pihak boleh membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan berhubung kesalahan pilihan raya.

"Laporan yang dibuat akan membolehkan tindakan dan siasatan segera diambil oleh jabatan/agensi tersebut.

"SPR memerlukan kerjasama menyeluruh daripada setiap parti politik, jabatan/agensi, NGO serta pihak-pihak lain yang berkaitan bagi memastikan urusan kempen pilihan raya dapat dilaksanakan secara lancar dan teratur," katanya lagi.

Azalina berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) berkenaan jika kerajaan akan berhenti menggunakan sekolah, kenderaaan kerajaan dan helikopter ketika kempen pilihan raya.

Azalina Othman Said

Azalina mengakui perkara itu sering dibangkitkan terhadap kerajaan semasa dan sebelumnya.

Katanya lagi, anggota petandbiran ada tanggungjawab untuk melaksanakan tugas mereka pada setiap masa, termasuk ketika pilihan raya.

"Kerajaan juga sentiasa memberi perhatian terhadap semua maklum balas yang diberikan oleh mana-mana pihak bukan sahaja sewaktu musim pilihan raya tetap juga pada sepanjang masa supaya tata kelola dan tanggungjawab pada peringkat kementerian/jabatan dilaksanakan dengan sewajarnya," katanya lagi.

Pada Ogos lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dikritik kerana menggunakan helikopter AgustaWestland AW139 milik kerajaan ketika kempen PRN di Kedah.

Menjawab kritikan itu, Anwar berkata dia ada hak sebagai perdana menteri dan dia melakukannya ketika menghadiri acara kerajaan.

Sementara itu, Azalina turut menjawab soalan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkenaan kesediaan kerajaan untuk melaksanakan janji dalam manifesto PH berhubung pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM disemak Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang rentas parti.

Katanya kerajaan sedang mengadakan libat urus dengan beberapa pihak terlibat berkenaan mekansime baru pelantikan jawatan itu.

"Cadangan penambahbaikan mekanisme pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM dijangka akan melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Akta SPRM 2009," katanya.

Pada masa ini, ketua pesuruhjaya SPRM dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan nasihat perdana menteri.