Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tabung saman Ramasamy raih lebih RM230,000 pada hari pertama'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kempen mengumpul dana bagi membantu bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy dalam kes saman pendakwah bebas Dr Zakir Naik meraih lebih RM200,000 sejak dilancarkan semalam, menurut pihak yang mengendalikan perkara itu.

Presiden Pertubuhan Masyarakat Tamilar Kural Malaysia David Marshel mendakwa setakat lima petang tadi, sebanyak RM236,091.65 telah berjaya diraih.

"Tabung solidariti ini penting untuk kita sama-sama memberikan isyarat jelas bahawa setiap perjuangan memerlukan sokongan dan kesepakatan dan untuk kita terus melawan dan mencapai kemenangan.

"Sehingga kini sambutan sangat menggalakkan. Tetapi kita masih perlu kira-kira RM1.26 juta untuk menyelesaikan kes mahkamah itu.

"Diharap dalam beberapa hari yang akan datang, kita mampu mencapainya," katanya kepada Malaysiakini.

David Marshel

Untuk rekod, Marshel dan Ramasamy adalah bekas pemimpin DAP Pulau Pinang.

Kedua-duanya digugurkan daripada senarai calon dalam PRN lepas. Susulan itu, Ramasamy bertindak keluar parti manakala Marshel bertanding sebagai calon bebas, menyebabkan dia dipecat.

Semalam Ramasamy melancarkan kempen pendanaan awam selepas mahkamah memihak kepada Zakir dalam kes saman tersebut.

Ramasamy diperintah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membayar ganti rugi berjumlah RM1.52 juta - iaitu RM1 juta bagi ganti rugi am, RM100,000 untuk pampasan, RM100,000 untuk ganti rugi teruk, RM250,000 untuk ganti rugi teladan serta kos RM70,000.

Mahkamah memerintahnya untuk menjelaskan jumlah itu dalam tempoh 30 hari bermula semalam.

Berkenaan kempen tersebut, Ramasamy berkata dana akan dikumpul secara telus dan sebarang lebihan akan digunakan untuk kebaikan orang ramai.

Dia juga berkata akan membuat rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Pada 2019, Zakir memfailkan dua saman fitnah berbeza terhadap Ramasamy berhubung kenyataan yang dikeluarkan ahli politik itu.

Saman pertama berkaitan ceramah Zakir di Kota Bharu, Kelantan pada 8 Ogos 2019 dan saman kedua berhubung penangkapan berkaitan dakwaan usaha menghidupkan semula gerakan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).