Skip to main
Logo Malaysiakini

'EV bukan acah-acah mesra alam, lagi baik dari kereta petrol'

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

WAWANCARA | Belanjawan 2024 yang diluluskan peringkat dasar di Dewan Rakyat minggu ini, memberikan pelbagai insentif kepada industri Kenderaan Elektrik (EV) dalam usaha kerajaan untuk mencapai pelepasan sifar karbon.

Walaupun kenderaan elektrik mempunyai potensi untuk menangani perubahan iklim dengan menghasilkan pelepasan gas rumah hijau yang jauh lebih sedikit namun ada pandangan mengatakan fokus terhadap pengangkutan awam akan memberikan sumbangan yang lebih penting ke arah sifar karbon.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad menjelaskan membangunkan industri EV juga penting berikutan kedudukan industri automotif negara yang kukuh.

“Adakah pengangkutan awam lebih baik? Ya. Tetapi kita tahu bahawa kita tidak boleh 100 peratus bergantung kepada pengangkutan awam,” katanya kepada Malaysiakini pada Rabu.

“Kita mungkin tidak suka tetapi bagi saya, kita sudah mempunyai asas (pengguna) (dalam industri automotif).

“Mengapa kita tidak menjadikannya relevan untuk hari ini, dan perkaitan itu adalah (peralihan ke arah) EV.

"Saya tidak akan mengatakan ia 'acah-acah hijau' kerana EV masih lebih baik daripada kereta enjin petrol dan juga lebih bersih untuk alam sekitar," tambahnya.

Nik Nazmi berkata EV hanyalah sebahagian kecil daripada Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) - rangka kerja dasar yang bertujuan untuk mengurangkan pelepasan daripada sektor pengangkutan.

Pelan tindakan itu, yang menjangkau dari 2021 hingga 2023, memfokuskan pada empat bidang termasuk meningkatkan kecekapan tenaga kenderaan dan penggunaan mobiliti elektrik.

“Pelan itu juga membincangkan penggunaan bahan api alternatif, seperti bagaimana Sarawak meneroka (kenderaan berkuasa) hidrogen.

“Tetapi ia juga bercakap tentang pengangkutan awam. Jadi kami tidak mengatakan bahawa EV (akan dibangunkan) dengan mengkesampingkan segala (yang lain).”

Nik Nazmi memberi contoh negara jiran Singapura yang diketahui mempunyai salah satu sistem pengangkutan awam paling cekap di rantau ini.

Gambar fail, MRT di Singapura.

Singapura telah meletakkan komitmen untuk menghentikan jualan kereta enjin pembakaran dalaman (ICE) secara berperingkat menjelang 2030, dan beralih kepada EV.

“Kami bercakap tentang Singapura, yang sangat propengangkutan awam.

“Memang mahal untuk memiliki kereta di sana tetapi mereka masih mempunyai pilihan untuk EV kerana mereka tahu bahawa ia diperlukan,” tambah Nik.

Galakkan peralihan pantas guna EV

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Malaysia menyatakan hasratnya untuk menjadi kuasa elektrik EV, dengan Belanjawan 2024 mengumumkan pelaburan RM170 juta bagi membina 180 stesen pengecas EV.

Selain itu, kerajaan mengumumkan rancangan untuk melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas perbelanjaan kemudahan mengecaj EV untuk tempoh empat tahun dan potongan cukai untuk kos sewa EV selama dua tahun lagi.

Salah satu pemacu terbesar dalam memberi insentif kepada industri EV di Malaysia, khususnya dalam pembentangan belanjawan ini adalah menggalakkan kadar peralihan penggunaan EV dengan lebih pantas.

Nik Nazmi menyamakannya dengan China, dengan kadar penggunaan EV agak tinggi kerana kekurangan subsidi bahan api.

“Terdapat dorongan besar (untuk beralih kepada EV di China) semata-mata kerana seseorang itu mahu menjimatkan wang. Perbezaannya besar di China kerana tiada subsidi (bahan api) di sana.

"Saya fikir itu adalah perkara utama dan mengapa kerajaan (Malaysia) melihat kepada penyasaran semula subsidi (bahan api) jadi yang benar-benar layak saja mendapatnya," katanya.

Bagaimanapun, harga EV yang tinggi terus menjadi penghalang utama bagi kebanyakan rakyat Malaysia - walaupun usaha kerajaan untuk menembusi industri global yang semakin berkembang ini.

Nik Nazmi mengakui hal ini, berkata belanjawan itu turut memenuhi keperluan kenderaan mobiliti kecil seperti motosikal elektrik.

Di bawah belanjawan 2024, pembelian motosikal elektronik bagi mereka yang berpendapatan tahunan bawah RM120,000 diberi rebat RM2,400.

Kepimpinan melalui teladan

Sebagai tambahan kepada insentif EV untuk orang ramai, kerajaan mengumumkan bahawa ia akan menukar kenderaan rasminya daripada menggunakan kereta enjin pembakaran dalaman kepada kereta elektrik mulai tahun depan.

Ditanya mengenai rancangan kerajaan tentang bagaimana peralihan ini akan dijalankan, Nik Nazmi berkata akan dibuat melalui pemerolehan secara beransur-ansur.

Katanya, kerajaan perlu berhati-hati dalam proses perolehan kerana kedudukan fiskalnya yang ketat.

“Kerajaan tidak memiliki banyak kereta kami, kereta yang saya gunakan sebenarnya disewa.

“Saya tidak tahu bagaimana kita akan membuat perincian kerana itu adalah untuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Kewangan untuk berbincang.

"Tetapi ia juga tidak akan dilakukan secara besar-besaran," katanya lagi.

[Baca berita asal]