Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu kerakyatan: Mungkin ada reaksi libas balik, kata MP kerajaan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Seorang ahli parlimen mendakwa kegelisahan terhadap cadangan pindaan perlembagaan berkaitan pemberian kerakyatan mungkin akan membawa kepada insiden penyokong kerajaan akan bertindak menentang arus.

Menciap mengenainya di media sosial, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee, memberi amaran bahawa mungkin ada beberapa penyokong kerajaan bertindak bertentangan daripada ketua whip masing-masing di Dewan Rakyat jika pindaan tersebut tidak ditangani dengan bersungguh-sungguh.

"Renungkanlah," ciap Lee di X tanpa mengulas lebih lanjut, termasuk memberi pencerahan mengenai isu yang dikomennya.

Bagaimanapun, sumber memberitahu Malaysiakini, Lee merujuk kepada lapan cadangan pindaan perlembagaan negara berkaitan kerakyatan.

Menurut sumber terbabit, langkah menjarakkan diri yang disebut Lee itu adalah untuk memisahkan "pindaan hak yang positif daripada pindaan hak yang negatif".

"Penyahgandingan (decoupling) yang dirujuk Lee mungkin merupakan sekumpulan pindaan yang dilihat memberi hak positif seperti meluaskan hak pemberian (kerakyatan) kepada ibu juga, dan hak negatif seperti mengehad dan menyekat melalui syarat tambahan," kata sumber itu.

Di sebalik penolak daripada pelbagai pihak - dengan beberapa pihak berhujah bahawa cadangan pindaan itu akan memburukkan lagi keadaan orang tanpa kerakyatan - Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dijangka mengekalkan dan membentangkan cadangan pindaan berkenaan dalam persidangan Dewan Rakyat sekarang.

Untuk membolehkan perlembagaan dipinda, majoriti dua per tiga diperlukan oleh pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ia diluluskan.

Rasa tak puas hati

Rabu lalu ketika Saifuddin menyampaikan penggulungan di Dewan Rakyat, Lee mempersoalkan sama ada KDN berhasrat untuk menerima pakai pendekatan terpisah terhadap cadangan pindaan berkenaan atau sebaliknya.

Dia juga bertanya jika kerajaan hanya menumpukan pindaan yang pasti dapat mendapat sokongan daripada ahli parlimen.

Lee turut memetik bantahan daripada pengkritik dan masyarakat sivil terhadap cadangan pindaan berkenaan.

Lapan usul itu termasuk membabitkan cadangan "sensitif" mengenai pemberian kewarganegaraan kepada kanak-kanak tanpa kerakyatan bayi yang ditinggalkan oleh ibu bapa mereka dan ditemui serta dijaga oleh orang lain.

Saifuddin Nasution Ismail

Pindaan yang dicadangkan - antara lain - adalah untuk meminda Jadual Kedua, Bahagian II Seksyen 1(e) yang memberikan kewarganegaraan kepada setiap individu yang dilahirkan di Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang; serta Jadual Kedua, Bahagian III, Seksyen 19(b) yang memberikan kanak-kanak terbiar kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang.

Sementara itu, beberapa ahli parlimen dari DAP mengakui terdapat rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong kerajaan.

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan memberitahu Malaysiakini terdapat kebimbangan dalam kalangan penggubal undang-undang kerajaan, cadangan pindaan itu berbexa daripada apa yang dipersetujui dalam manifesto PH.

Bagaimanapun, Syahredzan berkata dia perlu melihat rang undang-undang yang dicadangkan dan mendengar sendiri daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) terlebih dahulu sebelum mengulas lanjut.

“Daripada apa yang kita dengar dan dibentangkan oleh NGO, ia telah melampaui itu dan ia akan menjadi regresif.

"Tetapi ia (rang undang-undang berkenaan) belum dibentangkan secara rasmi kepada kami, justeru saya mahu tunggu dulu sebelum menyatakan secara rasmi sama ada akan menyokongnya atau tidak," katanya.

Syahredzan Johan

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok juga berkongsi sentimen yang sama dengan berkata, ahli parlimen dari blok kerajaan ingin mengadakan perbincangan lanjut dengan Saifuddin terlebih dulu.

"Memang benar, ahli parlimen kerajaan tidak selesa dengan cadangan pindaan itu," katanya kepada Malaysiakini.

Berkongsi sentimen yang sama seperti Syahredzan dan Kok ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid, yang berkata: "Kami bekerja keras untuk melibatkan diri dengan KDN bagi mencerminkan pandangan pengundi kami".

Lebih dua per tiga

Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata semua ahli parlimen DAP akan mengadakan mesyuarat pada malam esok di ibu pejabat parti untuk membincangkan secara khusus cadangan pindaan itu.

Lim memberitahu Malaysiakini, ahli parlimen DAP sedang mengkaji aspek positif serta kelemahan pindaan yang dicadangkan.

“Saya tidak sepenuhnya gembira dengan cadangan pindaan, beberapa artikel yang diterbitkan Malaysiakini mengenai pandangan NGO dan aktivis... beberapa kritikan mereka adalah sah, tetapi bukan semuanya.

“Saya ingin tahu niat sebenar pindaan itu.

“Mungkin mereka (KDN dan menteri) mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat demikian. Saya perlu memahami lebih lanjut sebelum saya boleh mengulas,” kata Lim.

Lim Lip Eng

Dengan sokongan tambahan daripada dua Ahli Parlimen PN - Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan ) - Anwar kini mendapat dukungan 149 Ahli Parlimen.

Jumlah itu menjadikan kerajaan kini memiliki ebih dua per tiga sokongan dan membuka ruang kepada usaha meminda Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, sekiranya amaran awal Lee menjadi kenyataan dan terdapat ahli parlimen yang menentang arahan parti, rang undang-undang pindaan itu tidak akan diluluskan dan perlu dibentangkan semula pada waktu yang lain.

[Baca berita asal]