Skip to main
Logo Malaysiakini

Pakar yakin ketegasan PM sokong Palestin tak jejaskan M'sia

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Sokongan terbuka dan lantang Anwar Ibrahim terhadap perjuangan Palestin tidak mungkin mempunyai kesan yang signifikan terhadap kedudukan geopolitik dan ekonomi Malaysia, kata penganalisis hubungan antarabangsa.

Bagaimanapun, seorang pakar mengambil mengingatkan, pendirian pro-Palestin perdana menteri dan kritikannya terhadap Israel boleh mencetuskan cabaran ekonomi.

Bercakap kepada Malaysiakini, felo kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Azmi Hassan berkata pendirian tegas pemimpin Malaysia yang menyokong Palestin bukanlah sesuatu yang baru.

Walaupun Dewan Perwakilan AS meluluskan rang undang-undang berhubung sekatan ke atas entiti asing yang menyokong Hamas serta Gerakan Jihad Islam di Palestin, Azmi berkata, tidak ada sebab untuk Malaysia cemas.

“Apa yang Anwar lakukan tidaklah secara langsung mengatakan kita menyokong Hamas. Kita menyokong rakyat Palestin dalam usaha mereka untuk mendapatkan kebebasan dalam menghadapi konflik di Gaza.

“Ya, kita tidak menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas, tetapi tidak ada yang salah dengan sikap itu.

"Tak ada undang-undang antarabangsa yang mengatakan adalah salah untuk menunjukkan sokongan moral terhadap Hamas," katanya kepada Malaysiakini.

Azmi Hassan

Rang Undang-undang Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas dan Kumpulan Pengganas Palestin Lain pertama kali dibentangkan di Dewan Perwakilan AS pada Jan lalu.

Ia memerlukan presiden AS mengenakan sekatan terhadap warga asing yang dengan sengaja memberikan sokongan kewangan, material atau teknologi yang signifikan kepada kumpulan militan tertentu di Palestin.

Presiden AS dikehendaki mengenakan sekatan ekonomi terhadap penyokong terbabit dalam tempoh 180 hari selepas rang undang-undang itu dikuatkuasakan.

Negara bantah AS lebih banyak

Undang-undang itu juga memerlukan presiden AS membuat senarai negara yang memberikan sokongan kepada kumpulan terbabit dalam tempoh 90 hari selepas undang-undang digubal dan mengenakan sekatan dalam tempoh 180 hari.

Bagaimanapun, presiden boleh mengetepikan penguatkuasaan beberapa peruntukannya, terutamanya atas dasar kemanusiaan.

Rang undang-undang itu bakal diteliti oleh Senat AS selepas ini.

AS adalah antara negara yang meningkatkan tekanan ke atas Malaysia berhubung pendiriannya dalam isu Palestin.

Ia berlaku di tengah konflik yang semakin memburuk di antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza.

Anwar pada 31 Okt lalu mendedahkan bahawa AS adalah antara negara luar yang memberikan tekanan kepada Malaysia agar mengkaji semula pendirian terhadap Hamas selepas Putrajaya enggan menganggap mereka sebagai kumpulan pengganas.

Perdana menteri juga memaklumkan Kementerian Luar menerima tiga notis demarche daripada Kedutaan AS – dua daripadanya pada 13 dan 30 Okt, manakala satu lagi dihantar kepada duta Malaysia ke AS di Washington.

Demarche ialah istilah diplomatik yang merujuk kepada tindakan politik.

Azmi menegaskan kelantangan Anwar menyokong perjuangan rakyat Palestin sepatutnya tidak mewajarkan perdana menteri itu dikenakan sekatan oleh Washington.

“Saya tidak fikir akan ada kesan daripada rang undang-undang atau mana-mana undang-undang AS terhadap Malaysia

"Kita tidak pernah pun memberikan senjata atau peluru kepada Hamas.

“Kita bersuara dengan cara yang betul. Kita bersama-sama dengan masyarakat antarabangsa lain yang bersimpati terhadap rakyat Palestin," katanya.

Sharifah Munirah Alatan

Berkongsi sentimen yang sama ialah profesor madya di Pengajian Strategik dan Perhubungan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia, Sharifah Munirah Alatas, yang baru bersara.

Dia menolak kemungkinan ada sebarang tindakan balas diplomatik atau geopolitik yang berkesan oleh AS atau Israel kerana majoriti negara di Selatan Global melihat Rumah Putih sebagai hipokrit dan mengamalkan sikap talam dua muka.

“Seseorang juga harus ingat bahawa perjuangan untuk penentuan nasib sendiri oleh rakyat Palestin telah berlangsung selama beberapa dekad, tanpa ada percubaan jujur untuk sebarang penyelesaian daripada pemain utama dalam masyarakat antarabangsa.

"Dalam banyak keadaan, ini adalah gabungan kolonialisme, perkauman dan fasisme.

“Malaysia bukan satu-satunya negara yang akan disasarkan sebab majoriti negara di Selatan Global menentang apa yang berlaku di Gaza.

“Penyokong AS tidak seramai itu,” katanya kepada Malaysiakini.

[Baca berita asal]