Skip to main
Logo Malaysiakini

M'sia hargai komitmen Tokyo tangani isu penempaan Israel

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Perdana Menteri menyatakan penghargaan Malaysia atas komitmen Jepun dalam menangani isu penempatan Israel di Palestin dan penyediaan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang dilanda peperangan.

Anwar Ibrahim juga memuji sokongan Jepun terhadap keamanan dan ketenteraman di rantau itu yang telah menyaksikan konflik berulang kali antara Palestin dan Israel, termasuk kemusnahan akibat pengeboman di Gaza baru-baru ini.

"Melihatkan pengeboman itu, kerosakan di Gaza dilihat melampaui kemusnahan yang disaksikan di Hiroshima semasa Perang Dunia II," kata Anwar semasa mengadakan sidang media bersama dengan rakan sejawatnya, Fumio Kishida, di Putrajaya hari ini.

Kata Anwar, Malaysia dengan penuh harapan mahu bekerjasama dengan Jepun yang kini merupakan anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengurangkan penderitaan rakyat Palestin.

Mengenai hal ehwal serantau, Anwar menekankan komitmen bersama Malaysia dan Jepun dalam memperkuat serta memelihara keamanan serantau.

Komitmen itu, katanya, melibatkan penerokaan peluang baru untuk kerjasama dalam industri pertahanan dan sektor maritim.

Selain itu, kedua-dua negara mencapai perjanjian untuk mempercepat penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia.

Anwar menyatakan bahawa langkah itu akan memberikan pelajar Malaysia akses kepada sistem pendidikan Jepun yang berkualiti tinggi.

Perdana menteri juga meminta Kishida untuk mengadakan kerjasama khusus antara Malaysia dan Universiti Waseda di Jepun, sebuah lagi institusi pendidikan tersohor yang menghasilkan cendekiawan seperti almarhum Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid.

Kishida berada dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia bermula semalam.

- Bernama