Pemuda PKR, Amanah: PLKN kali ini berbeza, kos lebih kecil
PH sebelum ini lantang membantah pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Malah, antara janji manifesto PH pada PRU 2018 adalah memansuhkan PLKN atas sebab "ia tidak berjaya mencapai objektif" serta "penuh dengan pembaziran. PLKN akhirnya dimansuhkan selepas PH menjadi kerajaan persekutuan pada tahun itu.
Namun, di bawah kerajaan perpaduan pimpinan gabungan itu, program itu akan kembali dilaksanakan.
Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda ketika dihubungi Malaysiakini berkata mereka sebelum ini membantah program tersebut atas faktor kos.
"Bantahan sebelum ini kerana ia melibatkan kos yang sanga besar...Dalam tempoh pelaksanaan (sejak 2003) saja kita belanjakan lebih RM5 bilion.
"Antaranya ini kerana ketika itu kerajaan menyewa kem (latihan PLKN) dengan pihak swasta," katanya ketika diminta mengulas langkah kerajaan untuk mengembalikan semula PLKN.
Pelaksanaan semula PLKN diumumkan Menteri Pertahanan Mohamad Hasan di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu.
Menurut Mohamad, PLKN kali ini akan menggunakan kaedah latihan berbeza dan akan dibuat di 13 kem tentera sedia ada.
“Kita mahu supaya kali ini kerajaan tidak berbelanja banyak, tetapi ia lebih memberi pulangan baik kepada modal insan,” katanya, sambil memaklumkan kos keseluruhan PLKN sebelum ini adalah kira-kira RM8.05 bilion.
Mengulas lanjut, Hasbie yang juga ahli Dewan Negara berkata pihaknya sebelum ini membangkitkan persoalan berhubung pelaksanaan semula PLKN namun akur selepas mendapat penjelasan lanjut.
“Untuk PLKN kali ini kita menggunakan kem milik ATM. Jadi kos lebih rendah dan kita dapat jimat banyak dana awam.
“Jadi, Pemuda Amanah berpendapat PLKN kali ini adalah program yang baik dan tidak membebankan kewangan kerajaan,” katanya lagi.
Trend 'ultra konservatif'
Sementara itu, Timbalan Ketua AMK Kamil Munim berkata keputusan untuk melaksanakan semula PLKN dibuat setelah perbincangan menyeluruh di peringkat Kabinet.
“Ia mengambil kira keperluan untuk menyediakan medan latihan bala ketenteraan disamping menanam semangat patriotisme khususnya di kalangan remaja.
“Saya percaya pendekatan kali ini berbeza dengan sebelumnya, berdasarkan modul lebih segar yang merangkumi penglibatan lebih menyeluruh merentasi garis kaum dan agama," katanya yang juga setiausaha politik kepada menteri kewangan.
Kamil juga membangkitkan kemunculan apa yang disifatkannya sebagai "trend ultra konsevatif" yang mempengaruhi golongan muda.
"(Trend itu) memungkinkan mereka terjurus ke arah pemikiran garis keras, maka program ini dapat menjadi medan mendidik dan menjernihkan pemikiran mereka, di samping menanam semangat cintakan negara,” katanya lagi.
Katanya lagi, pihak bertanggungjawab perlu terbuka menerima sebarang kritikan berhubung pelaksanaan PLKN bagi memastikan ia mencapai matlamat yang diharapkan.
Dia juga membangkitkan belanja besar untuk pelaksanaan PLKN yang lalu dan membandingkannya dengan versi baru, yang menurutnya dengan skala dan kos yang lebih kecil.
"Pendekatannya juga harus ditambah baik bagi memastikan objektifnya tercapai,” katanya lagi.
Mula diperkenalkan pada 2003, PLKN merupakan program selama tiga bulan merangkumi modul fizikal, kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti, melibatkan 85,000 hingga 95,000 pelatih setiap tahun.
Ia dihentikan pada 2015 sebagai langkah rasionalisasi perbelanjaan negara ketika itu, sebelum diperkenalkan semula pada tahun berikutnya dengan jumlah pelatih yang jauh lebih kecil iaitu kira-kira 20,000 orang setahun.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai