KOMENTAR | Untuk masa depan Amanah yang lebih baik
KOMENTAR | Pemilihan Amanah tidak lama lagi amat signifikan untuk dilihat dengan lebih terperinci oleh ahli parti, kepimpinan negara dan masyarakat umum.
Walaupun baru berusia sekitar lapan tahun, Amanah sudah berpengalaman dua kali menjadi kerajaan pusat. Amanah adalah sebuah parti yang sangat berpotensi tetapi dengan syarat, ia mesti menyedari bagaimana harus memposisikan diri demi kelangsungan masa depan.
Jika dinilai berasaskan keputusan pilihan raya, Amanah mencapai tahap yang membanggakan ketimbang usianya yang masih muda. Namun dalam realiti semasa yang ada persaingan yang kuat dan rencam, Amanah tidak wajar selesa dengan kedudukan hari ini.
Justeru, bagaimana perlu Amanah memposisikan diri dan pada masa sama meningkatkan keupayaannya?
Kepimpinan parti adalah asas utama kemajuan sesebuah parti.
Keberuntungan Amanah ketika ia mula dibentuk ialah wujudnya barisan pemimpin hebat dan penuh pengalaman mentadbir serta menguruskan parti.
Malah Amanah bernasib baik apabila diketuai oleh Mohamad Sabu yang dikenali sebagai tokoh tahan lasak, berdisiplin dan disukai anak muda.
Ahli, masyarakat dan rakan kongsi Amanah amat terhutang budi kepada jasa pemimpin Amanah yang sama-sama mengukuhkan PH sehingga mampu menaikkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10.
Namun selepas itu, apa?
Sangat pentingkan idea
Pada saya, telah sampai masanya untuk Amanah terus laju ke hadapan dengan pemimpin baru yang lebih segar serta dinamik untuk menawarkan kepelbagaian kemahiran melalui tokoh yang mampu membawa nuansa Islam.
Hal itu kerana ia bertepatan dengan sifat serta imej Amanah.
Bukan mahu menafikan kekuatan barisan pimpinan hari ini sebaliknya situasi semasa memerlukan parti bersedia dengan corak kepimpinan yang dibawa perdana menteri.
Jika tidak mengubah gerak, memperbetulkan langkah dan selesa dengan apa yang ada, percayalah - Amanah bakal tercicir.
Saya senaraikan beberapa saranan untuk dinilai oleh pembaca, ahli parti serta pucuk pimpinan negara sementara menunggu tibanya detik pemilihan pada akhir tahun ini.
Kredibiliti akademik yang tinggi
Pertukaran kepimpinan di peringkat tertinggi, khususnya presiden, amat diperlukan agar parti dapat memperkenalkan seorang ketua yang memiliki latar belakang akademik yang lebih kukuh.
Pemimpin yang memahami isu-isu kompleks secara akademik dapat membimbing parti dengan lebih berkesan, membuat keputusan berasaskan fakta dan analisis mendalam.
Menyaksikan corak pemikiran perdana menteri, benarlah dia sangat mengutamakan idea, solusi dan perbahasan yang memuaskan untuk ditonjolkan dalam kumpulannya.
Pemikiran Islam yang mendalam
Amanah memerlukan seorang ketua yang memiliki pemikiran Islam yang baik. Merujuk kepada perlembagaan, cita-cita dan harapan parti, Amanah seharusnya menjadi parti alternatif terbaik untuk umat Islam di negara ini bersama-sama PKR dan Umno.
Malah Amanah sepatutnya mampu menyaingi PAS. Selepas ini Amanah memerlukan seorang presiden yang tidak hanya memiliki pengetahuan mendalam tentang pemikiran Islam, bahkan mampu mengaplikasikannya dalam dasar-dasar parti dan negara.
Juga ia perlu lebih ditekankan dalam kementerian yang diketuainya (jika dia seorang menteri).
Ini penting untuk memastikan Amanah kekal memperjuangkan nilai-nilai Islam secara konsisten sambil mengambil kira aspirasi masyarakat Islam.
Reformasi dalam proses keputusan
Bersesuaian dengan semangat reformasi yang ada dalam diri perdana menteri dan rangka kerjanya selaku ketua pentadbiran negara, Amanah mesti menawarkan barisan pemimpin yang mampu membawa reformasi dalam proses pembuatan keputusan parti dan kerajaan.
Sebagai langkah awal, cubalah semak semula dan perkukuhkan struktur parti serta proses membuat keputusan agar ia dapat membantu Amanah beradaptasi dengan perubahan.
Ia juga dapat memberikan kelancaran dan keberkesanan dalam menghadapi cabaran politik semasa.
Anak-anak muda Amanah sering bersuara bahawa mereka kurang diberikan peluang menyumbang dalam parti dan kerajaan.
Kepimpinan semasa pula kurang memberi tumpuan kepada langkah pembentukan pelapis baru. Bagaimana Amanah boleh mampan jika sudut ini dibiarkan ketinggalan?
Kemampuan bersaing
Siapakah tokoh dalam Amanah yang layak menggantikan presiden semasa?
Saya percaya setiap ahli memiliki jawapan sendiri. Kita nantikan proses yang akan mengambil tempat nanti.
Presiden baru Amanah mestilah individu yang memiliki daya saing yang tinggi. Bukan sekadar mampu bersaing dengan kepimpinan parti kerajaan yang lain, bahkan mempunyai kelayakan untuk menjadi rakan kongsi (partner) yang sesuai untuk perdana menteri khususnya dalam menjayakan proses mengembangkan konsep Malaysia Madani.
Langkah itu seterusnya mampu meletakkan negara dan kerajaan pada tahap terbaik dalam kerangka pembangunan Islam.
Tidak itu sahaja, pemimpin baru Amanah perlu memiliki kelebihan untuk menangani tekanan politik dan perundingan antarabangsa, serta mempunyai visi yang sejajar dengan aspirasi negara seperti ditunjukkan oleh perdana menteri lewat penglibatannya dalam sebarang libat urus sama ada di dalam mahupun di luar negara.
Kelayakan sebagai pembantu kepada perdana menteri melibatkan beberapa aspek.
Pertama, keupayaan diplomasi. Pemimpin tertinggi Amanah perlu mempunyai kemahiran diplomasi yang tinggi untuk menjalin hubungan baik dengan pelbagai parti dalam negara serta kerajaan negara lain.
Ia akan memberi kelebihan dalam membawa kepentingan parti dan negara ke persada antarabangsa.
Kedua, kemahiran berunding. Sebagai pemimpin utama parti dan sering mendampingi perdana menteri - malah mungkin menjadi wakilnya dalam mana-mana perhimpunan dunia - presiden Amanah seharusnya memiliki kemahiran berunding yang tinggi.
Bukan sebab sudah lemah
Ini penting untuk mencapai kesepakatan politik dan memastikan kerjasama yang berkesan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Ketiga dan terakhir, keberkesanan dalam pengurusan krisis. Keupayaan untuk menguruskan krisis dan membuat keputusan yang bijak dalam situasi yang mencabar merupakan ciri yang penting bagi seorang pemimpin yang diharapkan oleh perdana menteri.
Ringkasnya, pemimpin utama Amanah perlu menguruskan parti untuk menjadikan ia lebih baik lagi pada satu atau dua tahap lebih atas melalui penghasilan pemimpin yang berdaya saing.
Tokoh itu juga harus mampu memberikan sumbangan yang signifikan kepada kestabilan sama ada dalam negara mahupun antarabangsa.
Bagi saya ramai yang boleh menggalas jawatan presiden parti bagi menggantikan penyandang sekarang.
Suka saya ulang, perubahan yang disarankan ini bukan bermakna Mohamad lemah atau sudah hilang kelayakan sebagai pemimpin parti.
Hasrat perubahan ini disuarakan semata-mata mahu melihat Amanah terus laju ke hadapan bersama rakan kongsi yang lain.
Mohamad telah begitu cemerlang memposisikan parti sejak awal penubuhannya sehingga ke hari ini.
Persekitaran politik dan cabaran semasa mendorong parti melakukan perubahan. Saya fikir Mujahid Yusuf mampu menggalas amanah tersebut.
IBNU MUHAMMAD FALASTINI ialah ahli Amanah, pelajar sains politik dan pembaca Malaysiakini sejak awal penubuhannya.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai