Skip to main
Logo Malaysiakini

Ibu hiba terima ijazah arwah anak bongsu

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Suasana hiba menyelubungi Dewan Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok, apabila nama Allahyarham Muhammad Ibrahim Abd Aziz diumumkan sebagai penerima Ijazah Sarjana Muda Geosains Fakulti Sains Bumi, secara anumerta.

Ibu Allahyarham, Rohana Sahat yang hadir menerima ijazah berkenaan tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja menerima skrol anak bongsunya yang disampaikan oleh Pro Canselor UMK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz pada Istiadat Konvokesyen Kali ke-13 universiti itu di Bachok hari ini.

Menurut Rohana yang berasal dari Kampung Parit Buaya, Muar, Johor, anaknya meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan motosikal pada 12 Nov tahun lepas di Kelantan.

“Perasaan saya bercampur baur antara gembira dan sebak sebaik sahaja menerima surat daripada pihak pengurusan UMK untuk jemputan hadir ke majlis konvokesyen arwah anak saya pada hari ini.

“Awalnya, memang saya keberatan untuk menghadiri konvokesyen ini tetapi memandangkan inilah impian arwah untuk memperoleh segulung ijazah saya kuatkan juga hati untuk hadir ke UMK,” katanya ketika ditemui pemberita selepas istiadat itu.

Mengimbau peristiwa kemalangan anaknya, Rohana berkata beliau mendapat berita kemalangan terbabit selepas diberitahu anak perempuannya kira-kira 10.30 malam.

"Kawan anak yang berada di Hospital Tanah Merah pada ketika itu menghubungi kami memaklumkan kemalangan arwah anak dan sejurus mendengar khabar itu, kami sekeluarga terus bergerak ke Kelantan untuk ke hospital," katanya.

Menurut Rohana, anaknya menyimpan impian untuk menjadi seorang usahawan sebaik sahaja tamat pengajian di UMK.

“Beliau sejak kecil lagi banyak membantu saya berniaga di kampung. Malah, setiap kali cuti semester arwah akan membantu di kantin sekolah.

“Memang saya sangat terasa kehilangannya kerana dia sangat rapat dengan saya selain selalu menghiburkan kami dengan jenakanya," katanya.

Rohana memaklumkan jenazah anaknya dikebumikan di tanah perkuburan di hadapan rumah mereka bagi memenuhi permintaan arwah yang mahu berada dekat dengannya walaupun sudah tiada lagi di dunia ini.

- Bernama