Skip to main
Logo Malaysiakini

'Cadangan tubuh j'kuasa bebas siasat pegawai SPRM perlu penelitian lanjut'

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Kerajaan perlu lebih masa bagi meneliti cadangan untuk mewujudkan sebuah jawatankuasa bebas yang akan menyiasat aduan yang dibuat terhadap pegawai SPRM.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata cadangan tersebut akan dibawa ke peringkat jemaah menteri "dalam masa terdekat".

"Melalui sesi libat dan maklum balas yang diterima daripada agensi-agensi Kerajaan, terdapat keperluan bagi penelitian lebih lanjut berkenaan beberapa aspek khususnya aspek tadbir urus.

"Hasil penelitian dan pandangan daripada pihak yang berkaitan akan diangkat ke pertimbangan Jemaah Menteri dalam masa terdekat," katanya ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat, semalam.

Pada 19 April lalu, kabinet setuju untuk menubuhkan jawatankuasa protem untuk meneliti langkah meletakkan SPRM di bawah pemantauan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Menurut Ramkarpal, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said pada 2 Mei lalu telah mempengerusikan sesi perbincangan dengan EAIC, Pejabat Peguam Negara (AGC), SPRM dan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk membincangkan perkara itu.

"Beberapa lagi sesi libat urus telah dilaksanakan oleh kerajaan, iaitu bersama agensi Perkhidmatan Awam Persekutuan dan NGO pada 8 Mei, serta ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang pada 14 Jun," katanya lagi.

Ramkarpal menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH-Damansara) berhubung bila jawatankuasa bebas akan dibentuk untuk menyiasat aduan berkenaan salah laku pegawai SPRM.

Mengulas lanjut, Ramkarpal berkata Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dan Jawatankuasa Aduan (JKA) terus menjalankan peranan mereka.

Dia juga berkata SPRM juga menjalankan kajian untuk memperkasakan lagi peranan jawatankuasa bebas itu.

Katanya, sejak 2018 hingga 2023, sebanyak 42 tindakan tatatertib telah diambil terhadap pegawai SPRM yang didakwa dengan salah laku.

"Tindakan tatatertib ini termasuk amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji , turun gaji, turun pangkat dan buang kerja.

"Sebanyak 42 tindakan tatatertib telah pun diambil dan daripada jumlah tersebut sebanyak 15 warga SPRM telah dikenakan tindakan buang kerja," katanya lagi.

[Baca berita asal]