Skip to main
Logo Malaysiakini

Pindaan isu warganegara: NGO mahu hantar memo pada Agong

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Gabungan NGO yang menolak cadangan pindaan peruntukan berkaitan pemberian kerakyatan di bawah Perlembagaan Persekutuan akan mengemukakan memorandum bantahan kepada Istana Negara dan kabinet.

Jurucakap gabungan NGO berkenaan, Siti Rahayu Baharin dari Buku Jalanan Chow Kit berkata memorandum bantahan berkenaan akan dihantar secepat mungkin.

Siti Rahayu berkata, pihak mereka mendesak kerajaan supaya menukar pindaan yang bersifat regresif terhadap isu berkenaan kepada pindaan secara progresif.

"Tiada seorang pun kanak-kanak yang lahir di negara ini harus dibiarkan tanpa kewarganegaraan.

"Kami bercadang untuk meneruskan bantahan ini melalui memorandum yang akan dihantar ke Istana Negara dan kabinet," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Siti Rahayu menjelaskan bahawa mereka menolak lima daripada lapan cadangan pindaan yang bersifat regresif dikemukakan kerajaan.

Bagaimanapun, Siti Rahayu berkata mereka sedia mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan, khususnya menteri yang berkaitan jika dijemput.

Sidang media itu diadakan turut dihadiri beberapa wakil NGO lain seperti Lawyers for Liberty, Family Frontiers, serta beberapa NGO hak asasi yang lain serta beberapa individu berkaitan.


BACA LAPORAN BERKAITAN: PANDUANKINI | Pindaan perlembagaan akan burukkan lagi isu tiada kerakyatan?


Kementerian Dalam Negeri (KDN) dijangka mengekalkan dan membentangkan di Dewan Rakyat kesemua lapan cadangan pindaan berkaitan pemberian kerakyatan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Ini termasuk hak kepada ibu warga Malaysia mewariskan kewarganegaraan kepada anak mereka yang lahir di luar negara, sama seperti hak yang dimiliki bapa warga Malaysia sebelum ini.

Bagaimanapun, beberapa pindaan lain dikritik kumpulan masyarakat sivil sebelum ini termasuk berhubung anak terbuang dan anak kepada penduduk tetap.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini mempertahankan pindaan-pindaan berkenaan dan berkata dia sudah memberi penjelasan kepada pihak berkepentingan mengenai kebimbangan yang dibangkitkan.

Saifuddin berkata masih ada kaedah untuk golongan yang tidak mempunyai kewarganegaraan mendapatkan status warganegara dan pindaan itu hanya mengubah kaedah berkenaan daripada “jalur kuat kuasa” kepada “jalur pendaftaran”.

Saifuddin turut tidak menolak kemungkinan pindaan berhubung undang-undang kewarganegaraan turut melibatkan pindaan pada akta lain selain perlembagaan.

Tuntut janji PH

Sementara itu, individu yang sebelum ini tidak memiliki kewarganegaraan, Wong Kueng Hui yang turut hadir sidang media hari ini meminta menteri serta pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini memperjuangkan isu kewarganegaraan supaya kembali ke landasan perjuangan mereka.

Malah, katanya, ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu, dia dibawa ke pentas politik PH oleh Hannah Yeoh yang kini Menteri Belia dan Sukan, berjanji untuk memperjuangkan isu tersebut.

"Beliau sendiri menyatakan statelessness (tiada kewarganegaraan) adalah isu yang sangat serius terhadap anak-anak Malaysia yang keciciran dokumen dan saya yakin beliau juga sangat memahami betapa susahnya hidup rakyat Malaysia tanpa kewarganegaraan di tanah air sendiri.

"Hari ini mereka telah pun berada di Putrajaya, menteri dalam negeri adalah seorang daripada gabungan PH, tetapi Kementerian Dalam Negeri telah mencadangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan yang bersifat zalim dan tidak berperikemanusiaan terhadap anak-anak Malaysia yang keciciran dokumen atau tanpa kewarganegaraan," katanya.

Burukkan lagi keadaan

Sementara itu, Presiden Family Frontiers, Suri Kempe berkata secara keseluruhannya, pindaan-pindaan yang dicadangkan tidak akan menangani isu tiada kewarganegaraan.

Katanya, ia hanya memburukkan lagi keadaan dan menyebabkan timbulnya golongan baru yang tidak memiliki kewarganegaraan di Malaysia.

Suri Kempe

"Pindaan-pindaan ini bukan sekadar bertujuan untuk menutup kelemahan di dalam Perlembagaan, tetapi bertujuan untuk memberikan kuasa mutlak kepada menteri dalam negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), menjadikannya hampir mustahil untuk mencari jalan penyelesaian sekiranya permohonan seseorang untuk kewarganegaraan ditolak.

"Pindaan-pindaan ini adalah percubaan untuk melegitimasikan sekatan-sekatan prosedural yang telah digunakan sewenang-wenangnya oleh pihak berkuasa, sekatan yang sebahagiannya telah diisytiharkan oleh mahkamah sebagai bertentangan dengan Perlembagaan dan merupakan pelanggaran terhadap hak-hak asasi," katanya.