Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Kissinger pernah ramal Israel ' lenyap'

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

KOMENTAR | Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua dicetuskan oleh Yahudi. Jangan terperanjat jika Perang Dunia Ketiga juga ada kaitan dengan Yahudi.

Bahkan itulah yang diramalkan Henry Kissinger menerusi bukunya, World Order.

Ia ditulis berdasarkan kajian terhadap sejarah dan pengalaman Kissinger sebagai penasihat dasar luar presiden swerta Setiausaha Negara AS.  

Dia  menjelaskan empat sistem tatadunia yang pernah terbentuk dalam sejarah: sistem berasaskan Perjanjian Damai Westphalia abad ke-17, empayar China, empayar Islam, dan penyebaran idealisme demokrasi AS.

Buku itu juga menghidangkan perbincangan tentang masa depan hubungan Washington-Beijing, evolusi Kesatuan Eropah, konflik Timur Tengah dan dampaknya kepada dunia, respons Barat terhadap Arab Spring, serta peranan senjata nuklear dalam soal keamanan dunia.

Perang Dunia Ketiga mungkin sudah bermula walaupun tiada negara yang mengisytiharkannya.

Sejak serangan Rusia terhadap Ukraine pada Jan 2022, dunia menyaksikan krisis yang berlaku bukan sahaja di Eropah Timur, bahkan di segenap seluruh buana.

Di Asia Timur, krisis China – Taiwan tidak pernah reda. Tentera China terlalu kerap ‘berlatih’ di perairan Taiwan.

Mutakhir ini kapal perang China juga menjelajah ke Asia Tenggara dan Jepun dengan alasan Laut China Selatan adalah miliknya dari segi sejarah.

Kebal hanya mitos

Di Semenanjung Korea pula ketegangan Korea Selatan dengan Korea Utara bukan sekadar perbezaan ideologi politik dan proksi ekonomi, malah percaturan kuasa besar dunia yang melibatkan AS, Rusia dan China.

Kissinger pernah membuat kenyataan, dalam tempoh 10 tahun lagi negara Israel akan 'lenyap'.  Kenyataan itu diluahkannya kepada wartawan Cindy Adams dan diterbitkan The New York Post pada 2012.

Sebagai seorang Yahudi, kenyataan Kissinger itu mungkin kerana dia sangat memahami denyut nadi jiwa bangsanya yang pengecut walaupun dilengkapi senjata dan didukung kuasa besar dunia.

Akhir-akhir ini Zionis kelihatan semakin berani dan lebih ganas selepas beberapa negara Arab mengiktiraf Tel Aviv.

Krisis terbaru sejak 7 Okt lalu adalah bukti Perang Dunia Ketiga semakin ketara, manakala Zionis tidak sekebal sangkaan umum sebelum ini. Begitu ramai warga Israel maut atau cedera.

Justeru terbukti sistem pertahanan dan perisikan Zionis yang didakwa kebal itu hanyalah mitos.  

Hari ini  'tentera jihad' Briged al-Qassam dianggap ikon pejuang Palestin.

Mereka kini dilengkapi pesawat tanpa pemandu (dron) diberi nama Ababil selain Shihab bagi membuat tinjauan udara di tanah Israel.

Melalui video didedahkan al-Qassam pada 30 Okt lalu, mereka juga memiliki skuad amfibia yang dilengkapi peluru berpandu diberi nama al-Asef bagi menangkis serangan Israel dari laut.

Mereka turut dilengkapi pelancar bom tangan dan peluru berpandu Kornet buatan Russia, roket artileri Khaibar-1 (M302), pelancar peluru berpandu antikereta kebal Dehlavieh (Kornet-E), mortar, rifel model Norinco CQ-A1, rifel AK-47 dan raifal carbine.

Kissinger pernah menyatakan bahawa AS akan melakukan apa sahaja demi keselamatan Zionis. Hal ini terbukti apabila Dewan Perwakilan AS meluluskan rang undang-undang (RUU) yang akan membenarkan sekatan asing dikenakan terhadap penyokong Hamas dan pertubuhan Jihad Islam.

Kebencian secara terbuka

RUU Akta Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas itu diluluskan secara majoriti apabila 363 menyokong berbanding 46 yang menentang.  

Peruntukan ini jelas menunjukkan Washington amat terdesak ekoran kebimbnagan menyaksikan kerapuhan Israel menghadapi asakan Palestin yang menuntut kemerdekaan.

AS dan Britain adalah penaja utama negara haram Yahudi sejak 1948. Rusia, Turki, Iran, Korea Utara dan China pula secara lantang menentang kezaliman Zionis yang berlaku sekarang.

Menerusi buku World Order, Kissinger  meramalkan dunia baru kekal aman mengikut acuan AS. Dia mungkin sengaja melupakan betapa kezaliman Zionis yang sudah menjadi rahsia umum.

Di mana-mana sahaja sikap kebencian terhadap negara Israel diperkatakan secara terbuka. Adakah membunuh kanak-kanak dengan sengaja adalah menetapi ciri-ciri kemanusiaan yang ditaja AS?

Rusia dan China berkali-kali memberi amaran. Kita bimbang Perang Dunia Ketiga sudah bermula dan penentangan terhadap rejim Zionis adalah punca segala-galanya!


IMLAN ADABI adalah wartawan marhaen.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.