Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes buli MCKK: Polis serah kertas siasatan pada timbalan pendakwa raya

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Polis sudah melengkapkan siasatan berkenaan kes buli di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di Perak, yang menyebabkan seorang pelajar dimasukkan ke hospital pada September lalu.

Ketua Polis Perak Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menyerahkan kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya, Isnin lalu.

”Siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

”Kita sudah serahkan kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya pada hari Isnin untuk tindakan lanjut," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Seksyen 323 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan seorang pelajar Tingkatan 4 MCKK cedera selepas diserang sekumpulan pelajar senior.

Pada Ahad lalu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK mengeluarkan kenyataan membidas keluarga pelajar Tingkatan 4 itu, yang dilaporkan dibawa ke hospital selepas didakwa dibuli oleh rakan sekolahnya.

PIBG dilaporkan berkata, pihak keuarga tidak sepatutnya mendedahkan mengenai kes itu di media sosial, menyebabkan ia menjadi tular dan seterusnya menjejaskan reputasi sekolah.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Omar Bakhtiar Yaacob berkata pihaknya sudah merekodkan keterangan daripada mangsa, mereka yang didakwa sebagai penyerang dan saksi lain bagi membantu siasatan.

Polis daerah juga merujuk hasil siasatan mereka kepada Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada 20 Okt lepas.

Menurut Omar, doktor yang merawat mangsa mengesahkan mangsa tidak mengalami kecederaan serius.