Skip to main
Logo Malaysiakini

Teo, Wan Saiful bertelingkah isu menteri minum arak secara terbuka

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Pertikaman lidah tercetus di Dewan Rakyat pagi tadi antara Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching (PH-Kulai) dan Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berhubung isu orang bukan Islam yang meminum minuman beralkohol.

Ia bermula apabila Wan Saiful mempersoalkan cara Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Tiong King Sing menjawab kritikan terhadapnya yang "mabuk" dalam acara awam.

Wan Saiful mendakwa Tiong menimbulkan perpecahan kaum dan agama dalam jawapannya berkenaan isu tersebut di Dewan Rakyat minggu lalu.

"Saya nak tanya adakah YB setuju jika rakyat di luar sana katakan dalam melaksanakan peraturan berkaitan 3R (agama, kaum, institusi diraja) ini, seolah-olah ada berat sebelah di pihak kerajaan.

"Pada masa sama, ada juga menteri contohnya, bila kita cakap salah laku (dan) tata etika minum alkohol di depan khalayak ramai, kita cakap (tentang) etika sebagai menteri (tapi) dia sendiri timbulkan perpecahan kaum dan agama

"Jadi ini sebabkan kerajaan dilihat tidak adil," katanya dalam soalan tambahan kepada Teo.

Tiong King Sing

Wan Saiful dipercayai merujuk perbahasan Tiong di Dewan Rakyat minggu lalu, di mana dia mengkritik seorang ahli Parlimen PN yang membangkitkan perkara itu.

Teo kemudian mencabar Wan Saiful untuk menunjukkan peraturan yang melarang menteri dan timbalan menteri bukan Islam daripada minum minuman beralkohol.

"Kalau YB rasa seorang bukan Islam minum arak melanggar tata etika, saya rasa Ketua Setiausaha Negara akan beri nasihat kepada menteri berkaitan.

"Mungkin YB boleh bantu saya, mana bahagian dalam tata etika (garis panduan kerajaan) yang nyatakan sebagai seorang menteri atau timbalan menteri, walau kami bukan Islam, kami langsung tak boleh minum arak," katanya lagi.

Teo juga menolak kenyataan Wan Saiful yang kerajaan berat sebelah dalam mengendalikan kes 3R.

Wan Saiful kemudian memberitahu Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Ramli Mohd Noor yang dia ingin merujuk Teo di bawah Peraturan Mesyuarat 36(6) kerana didakwa menimbulkan sangkaan jahat terhadapnya.

Pemimpin Bersatu itu berkata Teo membayangkan dia mempersoalkan hak orang Islam untuk minum minuman beralkohol.

"Saya bercakap mengenai pemimpin yang sepatutnya menjadi contoh baik dan tak menunjukkan akhlak buruk di luar.

"Saya tak sebut langsung tentang hak orang bukan Islam minum arak (tapi) komen YB seolah-olah mengatakan itulah kenyataan saya. Saya mohon YB tarik balik," katanya lagi.