Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid jangka ada lagi MP dari PN umum sokong Anwar

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Ahmad Zahid Hamidi menjangkakan ada beberapa lagi ahli parlimen pembangkang akan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak lama lagi.

Kata timbalan perdana menteri itu, dia memandang positif terhadap perkembangan tersebut dan turut berharap lebih ramai lagi ahli parlimen berbuat demikian.

"Kerajaan berpandangan bahawa bukan hanya empat orang ini sahaja, tapi kita jangka mungkin lebih daripada itu yang akan beri dukungan kepada perdana menteri," katanya ketika ditemui di parlimen hari ini.

Bagaimanapun Ahmad Zahid tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai jangkaannya itu.

Kepimpinan Anwar dilihat kini semakin kukuh ekoran sokongan yang diberikan empat ahli parlimen PN khususnya dari Bersatu.

Ia dimulakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Okt lalu, diikuti Suhaili Abdul Rahman pada 30 Okt, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) pada kelmarin sebelum dituruti diikuti Zahari Kechik (Jeli) semalam.

Dengan sokongan yang diberikan secara terbuka itu kerajaan memiliki lebih daripada jumlah yang mencukupi untuk menguasai Dewan Rakyat secara majoriti mutlak.

MP yang kini menyokong kerajaan (dari atas kiri) Zahari Kechik, Iskanda Dzulkarnain Abdul Khalid, Mohd Azizi Abu Naim dan Suhaili Abdul Rahman

Sementara itu mengulas pandangan diberikan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, yang tidak senang dengan sokongan diberikan ahli parlimen Bersatu itu, Ahmad Zahid berkata sikap yang betul ialah menanamkan sangkaan baik.

"Kita mesti bersangka baik dengan dukungan yang diberikan," katanya.

Ahmad Zahid menjelaskan, ahli parlimen Bersatu yang memberi sokongan kepada kerajaan itu asalnya ahli Umno juga.

Pada masa sama Ahmad Zahid mengingatkan ahli Umno di kawasan terbabit tidak merasa selesa sebaliknya perlu terus bekerja keras bagi mengembalikan sokongan rakyat kepada mereka.

"Biarpun mereka (ahli parlimen pembangkang) membantu dan menyokong perdana menteri tapi Umno sebagai parti politik harus memperkuatkan pengaruh di akar umbi bagi mengembalikan dukungan pengundi dan rakyat kepada sesiapa saja yang akan dicalonkan mewakili Umno dan BN di kawasan itu nanti," katanya.

Bawa bukti ada amalan rasuah

Akmal meminta perdana menteri menilai semula sokongan ahli parlimen terbabit agar agenda reformasi parlimen dapat dilaksanakan dan mencapai tujuan.

"Cukup-cukuplah dengan drama politik sebelum ini, rakyat sudah penat dan muak dengan drama politik tersebut.

"Kini adalah masa untuk fokus membantu rakyat," katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.

Ditanya jika ahli parlimen Bersatu itu akan diterima menyertai Umno, Ahmad Zahid berkata perkara tersebut akan dibincangkan bersama pemimpin parti di bahagian yang berkenaan.

Diminta mengulas usul yang akan dibawa Shahidan Kassim (PN-Arau) yang mendakwa terdapat unsur rasuah dalam pengisytiharan sokongan ahli parlimen pembangkang itu, Ahmad Zahid mengulangi pendirian sama dengan Anwar sebelum ini.

"Saya mintak beliau (Shaidan) buktikan, (jika) ada unsur rasuah," katanya.

Shahidan Kassim

Terdahulu, Zahid merasmikan majlis penyerahan watikah lantikan ahli penasihat Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) dan menandatangani memorandum persefahaman (MOU) program Malaysia-China Youth TVET Training (MYCT).

Melalui MoU tersebut, PKPB memeterai kerjasama bersama Tang International Education (China) dalam menyediakan platform latihan kemahiran untuk belia negara ini mendapat latihan industri di China sebelum kembali bekerja di tanah air.

Pada Julai lalu, 50 orang menjalani latihan dalam bidang automotif kenderaan elektrik di Tangshan Industrial Polytechnic.

Sehingga akhir Dis ini seramai 200 pelatih dalam bidang automotif, animasi dan multimedia, sistem komputer, jaminan kualiti dan mekatronik akan dihantar ke China bagi program MYCT.