Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersatu: Akta Antilompat Parti ada kelemahan, perlu kaji semula

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Bersatu mendesak Akta Anti Lompat Parti dikaji semula susulan tindakan empat ahli parlimennya yang menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim namun kekal bersama parti.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kajian itu perlu dibuat kerana akta tersebut ada beberapa kelemahan, antaranya kedudukan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul yang merupakan anggota parti politik.

"Apa yang kita bincang tadi, keputusan kita adalah akta Anti Lompat Parti perlu dikaji semula kerana terdapat beberapa kelemahan yang Bersatu rasakan perlu diteliti semula.

"Sebagai contoh, dalam kes empat ahli parlimen Sabah keluar Bersatu yang belum diputuskan mahkamah. Dan kes itu masih lagi menunggu keputusan mahkamah. Tapi speaker Dewan Rakyat telah memutuskan mereka tidak melanggar undang-undang.

"Speaker bukan seorang yang boleh dianggap profesional sebab dia datang daripada parti yang tidak sehaluan dengan kita.

"Saya boleh katakan keputusan speaker kadang kala ada kompromi kerana dia orang yang ada berkepentingan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, malam tadi.

Muhyiddin yang juga pengerusi PN merujuk permohonan semakan kehakiman yang dibuat Bersatu bagi mencabar keputusan Johari untuk tidak mengosongkan empat kerusi parlimen di Sabah, iaitu Papar, Batu Sapi, Ranau dan Sipitang.

Semakan itu menamakan Johari, dan empat ahli parlimen kerusi berkenaan iaitu Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang) sebagai responden.

Empat ahli Parlimen itu bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRU15 ketika Bersatu menjadi sebahagian daripada GRS. Bersatu bagaimanapun digugurkan daripada gabungan itu selepas pilihan raya.

Dalam surat kepada Bersatu pada 16 Jan, Johari berkata mereka tidak perlu mengosongkan kerusi kerana telah memberikan penjelasan berhubung perkara itu.

Dalam permohonan semakan yang dibuat, Bersatu memohon perisytiharan untuk membatalkan keputusan Johari melalui surat tersebut.

Parti itu juga memohon perisytiharan bahawa empat ahli Parlimen terbabit sudah berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan memohon perintah agarJohari mengesahkan kekosongan kerusi yang disandang mereka.

Baru-baru ini, empat ahli Parlimen Bersatu iaitu Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzukarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Zahari Kechik (Jeli) menyuarakan sokongan kepada Anwar tetapi pada masa sama kekal dalam parti itu.

Tindakan seumpama itu tidak disentuh dalam Akta Anti Lompat Parti yang melibatkan tindakan ahli Parlimen atau Adun yang keluar parti untuk menyertai parti lain.

Sementara itu, Muhyiddin berkata bahawa tindakan mereka yang menyatakan sokongan kepada PM adalah tidak bertanggungjawab serta menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti Bersatu.

"Bersatu telah mengecam langkah-langkah itu dan telah membawa ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Labuan ke lembaga disiplin serta telah menggantung keahlian serta semua jawatan dalam parti.

"Dalam tempoh terdekat lembaga disiplin juga akan berbincang mengenai ahli Parlimen Gua Musang dan Jeli," katanya lagi.