Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Harga ayam tidak akan kekal    

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Harga ayam tanpa subsidi dan kawalan harga tidak akan kekal murah. 

Harga ayam masih kekal seperti  harga di paras siling akibat dari pemantauan meluas pegawai penguat  kuasa dan pegawai pemantau  harga  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan  Kos Sara Hidup (KPDN).

Ia bukan disebabkan  peniaga  bersaing secara sihat dan berlumba-lumba menawarkan harga terbaik seperti laporan Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo.   

Secara logiknya mana mungkin harga ayam atau apa-apa barangan akan menjadi murah tanpa subsidi  dan kawalan harga  yang mengekalkan harga  maksimum. 

Sebulan sebelum pengapungan harga ayam,  lebih  100  notis  dikeluarkan  di  seluruh  negara  kepada peniaga yang  menaikkan  harga jualan ayam.  

Harga ayam yang masih  berada dalam lingkungan harga kawalan apabila harga ayam diapung  adalah bersifat sementara dan akan meningkat secara berperingkat.    

Ayam adalah satu komoditi yang  mempunyai ciri  ‘inelastik demand’ atau  permintaan tidak anjal. Ini bermakna  permintaan  untuk  ayam kurang terjejas  dengan  perubahan harga. 

Pengguna  akan  terus  mengkonsumi  ayam.  Harga  ayam yang murah  juga  tidak akan menggandakan  jualan  ayam  atau  ‘consumption’  ayam dalam sesebuah isi rumah.  Jadi penjual akan sentiasa menaikkan harga kerana  harga  murah  tidak  akan  melariskan  ayam  begitu  juga  kenaikan  harga  tidak  akan  mengurangkan  permintaan ayam dengan tinggi.   

Walaupun  perubahan  harga  ayam  tidak   menjejas  permintaan  tetapi  ia  merupakan  penentuan  bebanan  kepada rakyat. Rakyat yang  terpaksa membeli aya m iaitu komoditi  keperluan asas  bagi isi  rumah dengan harga yang mahal.    

Harga ayam juga akan meningkat susulan mata wang ringgit yang lemah mengakibatkan kenaikan  kos  bahan  mentah  makanan,  kenaikan  kos  anak  ayam  dan  perubahan  cuaca yang  tidak  menentu.  

Punca kenaikan harga  ini tidak  diatasi  dengan  efektif dan masih berleluasa.  Ini menjamin  ketidakstabilan harga ayam tanpa kawalan.   

Tujuan utama subsidi dan kawalan harga adalah untuk mengatasi kenaikan kos, masalah bekalan ayam  akibat perubahan cuaca dan juga siling harga semasa permintaan tinggi  pada musim cuti perayaan.  

Bekalan ayam yang kurang akibat dari perubahan cuaca juga mendorong kepada kenaikan harga selain dari  permintaan yang meningkat. 

Tanpa subsidi dan kawalan harga, kos ayam akan  terus  meningkat  dan rakyat akan terbeban kerana ayam adalah komoditi asas yang diperlukan.   

 Walaupun kami tidak menggalakkan subsidi tetapi  punca kenaikan harga perlu diatasi. 

Dengan harga  apungan, harga ayam akan meningkat secara berperingkat kerana ini adalah sifat barangan keperluan  dengan  permintaan tidak anjal selain  punca masalah yang  masih tidak diatasi.   

Penguatkuasaan dan pemantauan pihak  berkuasa juga tidak akan mendatangkan hasil  jangka masa  panjang  kerana tanpa harga kawalan, penjual bebas untuk meletakkan harga jualan  runcit.Apa guna  meletakkan  harga  apungan jika harga  ayam terus  dikawal  oleh  kementerian  secara  tidak langsung  melalui tindakan mengeluarkan notis-notis  KPDN  kepada peniaga. Adakah ini boleh menyelesaikan punca masalah?   


ARMIN BANIAZ PAHAMIN ialah presiden Gerakan Ekonomi Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.