Skip to main
Logo Malaysiakini

MB: Pentadbiran Lembah Klang Raya mulai tahun depan

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Kerajaan Selangor akan menyatukan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) Subang Jaya, Shah Alam, Petaling Jaya dan Klang ke dalam "Lembah Klang Raya" tahun depan.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shaari berkata ini akan mewujudkan proses seragam untuk pelesenan yang dikeluarkan oleh PBT dan meremajakan perbandaran matang.

"Dengan tekad mencari solusi kepada dasar-dasar ini, dan setelah meneliti pengalaman seperti Greater London Authority, Liverpool City Region, serta Tokyo Bay Area yang melibatkan Tokyo, Chiba, Saitama dan Kanagawa, kerajaan negeri akan mewujudkan pentadbiran Lembah Klang Raya yang meliputi satu sistem pentadbiran bagi keempat-empat PBT di Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam, dan Klang dengan memperkenalkan Enakmen Lembah Klang Raya," katanya ketika berucap pada pembentangan Belanjawan Selangor 2024 di Shah Alam hari ini.

Dia berkata Lembah Klang Raya dibangunkan antaranya dengan tujuan mewujudkan pentadbiran yang lebih lancar dan responsif bagi penduduk serta komuniti perniagaan termasuk menyeragamkan proses permohonan perniagaan, pelesenan, dan kelulusan.

Selain itu, kata Amirudin ia proses rejuvenasi bandar-bandar matang serta menjadi ‘test bed’ bagi pentadbiran kerajaan digital dengan membina sistem digital twin Lembah Klang Raya bagi membolehkan simulasi seperti pengurusan trafik, bencana, proses pembangunan termasuk reka bentuk bangunan dan kebenaran merancang.

"(Lembah Klang Raya bertujuan) mempercepatkan transisi daripada penggunaan kenderaan peribadi kepada pengangkutan awam;

"Mengoptimumkan sumber kerajaan dan menghapuskan pertindihan;

"Mewujudkan pentadbiran lokaliti pertama yang mesra warga emas, orang kelainan upaya, mesra kanak-kanak, serta menjayakan hasrat Low Carbon City pertama Malaysia," katanya lagi.

Menteri besar itu berkata pentadbiran yang cekap bagi Subang Jaya, Shah Alam, Petaling Jaya dan Klang adalah perlu kerana 50 peratus penduduk negeri itu menetap di kawasan tersebut.

Selain itu, jelasnya kawasan tersebut juga menempatkan kebanyakan industri di negeri itu.