Skip to main
Logo Malaysiakini

Exco Pahang jawab Adun PAS: Beras Makmur itu adalah Beras Rahmah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Choon Siang memaklumkan Beras Makmur adalah beras tempatan yang masih boleh dibeli ketika program Jualan Rahmah atau Jualan Rahmah Makmur di negeri itu. 

Jelasnya, jenama Beras Makmur itu digunakan ketika jelajah Jualan Rahmah Makmur peringkat negeri, manakala bagi program Jualan Rahmah pula, beras tempatan tersebut dikenali sebagai Beras Rahmah. 

"Dia macam ini, di peringkat kementerian - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ada program Jualan Rahmah jadi dipanggil Beras Rahmah, manakala di peringkat Pahang, kita panggil Jualan Rahmah Makmur jadi Beras Makmur, itu saja perbezaan. 

"Dari segi harga, bukan kita yang kawal, tapi Lembaga Padi dan Beras kawal," katanya kepada Malaysiakini di Kuantan, hari ini. 

Sim memaklumkan, isu berkaitan Beras Makmur itu tidak sepatutnya timbul kerana semua beras dijual ketika program Jualan Rahmah dan Jualan Rahmah Makmur sudah diberikan subsidi oleh kerajaan. 

Dia mengulas demikian bagi menjawab rungutan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu yang mendakwa pasar raya di kawasan Beserah tidak mempunyai stok beras tempatan

Andansura yang juga ahli dewan undangan negeri (Adun) Beserah turut mempersoalkan kehilangan Beras Makmur di pasaran selepas dilancarkan kerajaan Pahang pada 5 Oktober lalu, ketika kempen pilihan raya kecil (PRK) Pelangai. 

Andansura Rabu

Sim turut meminta Andansura menghubunginya jika ingin mengadakan program Jualan Rahmah di kawasan terbabit. 

"Sebelum ini pun saya sudah cakap dalam sidang dewan undangan negeri (DUN), kalau ada mana-mana Adun mahu program Jualan Rahmah diadakan di kawasan mereka, boleh terus hubungi saya. 

"Kalau dia mahu buat Jualan Rahmah di Beserah atau di mana-mana tempat dalam kawasan Beserah, cakap dengan saya, nanti kita boleh atur," katanya lagi. 

Dia yang juga Adun Teruntum memaklumkan bekalan beras tempatan boleh dibeli orang ramai ketika program jualan agro madani atau boleh terus ke pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berhampiran. 

"Di sana ada jual beras tempatan, bukan pergi tengok di pasar raya sebab di pasar raya kita (kerajaan negeri) tak boleh kawal apa jenis beras mereka nak jual," katanya.