Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Orang macam ni khianat, tiada hati perut’ - Bersatu

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Empat ahli parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim dicabar meletakkan jawatan dan bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil bagi menguji tahap sokongan yang diraih mereka.

Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris (gambar, bawah) berkata empat ahli parlimen itu telah mengkhianati pengundi dan penyokong parti.

"Mereka ini bijak, nak jadi wakil rakyat tetapi tak nak jaga kawasan.

"Kononnya, bila kita pecat mereka, mereka jadi bebas dan tak ada tanggungjawab kepada kawasan yang diberi amanah.

“Saya fikir orang macam ni khianat, tiada hati perut dan tak fikir kerja keras jentera yang dah memberikan dia kemenangan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran jenteran pilihan raya PN di Kemaman, malam tadi.

Pengundian pilihan raya kecil parlimen Kemaman bakal berlangsung pada 2 Dis. Proses penamaan calon pula akan diadakan pada 18 Nov.

Sebelum ini, empat ahli parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan memberi alasan demi mempertingkat pembangunan dan bantuan untuk kawasannya ketika rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup.

Memandangkan mereka tidak keluar parti masing-masing, undang-undang yang bertujuan untuk mencegah ahli parlimen berpaling tadah menyertai parti lain tidak terpakai.

Bagaimanapun, kesetiaan mereka kepada Anwar masih belum teruji kerana belum ada undian blok atau undi percaya di parlimen..

Empat ahli parlimen berkenaan ialah Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) and Suhaili Abd Rahman (Labuan).

Sementara itu, Razali berkata pihaknya akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Zahari dan Mohd Azizi.

"Dalam kes ini kita percaya wujud unsur-unsur sogokan yang menjanjikan habuan selepas mereka menyatakan sokongan terhadap perdana menteri.

"Kita akan pertimbangkan tindakan undang-undang termasuk membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.