Skip to main
Logo Malaysiakini

MP alih sokongan: Shahrir cadang Muhyiddin jadi ketua pembangkang

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sepatutnya memimpin pembangkang dan menjadi ketua pembangkang di Parlimen, kata veteran Umno Shahrir Samad.

Dalam hantaran di Facebook semalam, Shahrir berpendapat Muhyiddin akan benar-benar dapat memimpin ahli parlimen PN sekiranya dia memegang jawatan itu, yang ketika ini dipegang Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin.

Shahrir melontarkan cadangan itu selepas tindakan empat ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan terhadap pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Mereka ialah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Zahari Kechik (Jeli).

Shahrir berkata pimpinan tertinggi PAS dan Bersatu seakan-akan tidak melihat Parlimen sebagai institusi paling penting dalam sistem politik negara.

"Bagi saya, inilah satu kelemahan PN sehingga membuka ruang kepada ahli-ahli pParlimen mereka beralih sokongan mereka.

"Kepimpinan politik bukan hanya di peringkat parti. Kepimpinan itu juga perlu dilihat dan dirasai dalam Parlimen," kata Shahrir.

Shahrir Samad

Shahrir berkata lagi, sistem Parlimen di Malaysia mengiktiraf penyertaan pembangkang menerusi jawatan ketua pembangkang.

Jawatan itu disertakan dengan elaun dan pejabat, serta diberi keutamaan dalam perbahasan untuk rang undang-undang yang penting.

Oleh itu, bekas ketua Umno Johor Bahru itu berpendapat kehadiran Muhyiddin sebagai ketua PN di barisan hadapan "perang politik" di Dewan Rakyat akan meningkatkan motivasi ahli Parlimen pembangkang.

"Saya pasti mereka (ahli Parlimen pembangkang) tidak sempat rapat dan tidak berapa kenal sangat dengan Muhyidin selaku pemimpin tertinggi parti mereka," katanya lagi.

Dengan menjadikan Umno sebagai contoh, Shahrir berkata kecelaruan berlaku apabila Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan jawatan itu kepada Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

Menurutnya, ia juga menjadi punca berlaku pertembungan dalam Umno khususnya membabitkan ahli Parlimen dan parti.

"Kesudahannya Muhyidin lantik Ismail, (ketika itu) naib presiden Umno, sebagai timbalan perdana menteri. Akhirnya, jadi perdana menteri kesembilan," katanya lagi.

Sementara itu Naib Presiden Amanah Adly Zahari berkata tindakan empat ahli Parlimen itu menyokong Anwar bukanlah satu kesalahan.

Adly berkata penubuhan Kerajaan Perpaduan adalah untuk menyatukan tenaga dalam menangani cabaran ekonomi dan sosial pasca wabak Covid-19.

"Kita mengajak semua pihak untuk bersama-sama dalam Kerajaan Perpaduan, tanpa pembangkang. Bahkan kita juga boleh sahaja menerima sokongan dari Muhyiddin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

"Prinsip terbuka kita meminimumkan perbalahan, memperkasakan Kerajaan Perpaduan dengan menyediakan peluang untuk semua pihak bergabung demi negara," katanya dalam kenyataan hari ini.