Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada pegawai SPRM ditempatkan di Mitra, terlibat mesyuarat perolehan

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menjelaskan bahawa tiada pegawainya ditempatkan di Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Malah, Suruhanjaya itu menjelaskan bahawa pegawai SPRM turut dilarang daripada menyertai mana-mana mesyuarat lembaga, jawatankuasa atau sekretariat berkaitan perolehan agensi luar.

“Ini selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan 1 (1PP),” menurut SPRM dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan SPRM ini bagi menjelaskan berita bertajuk "MACC stations officer at Mitra for greater transparency" dan "MACC Officers to join Mitra meeting" yang diterbitkan dua akhbar berbahasa Inggeris bertarikh 11 Nov lepas.

SPRM memaklumkan ia telah menyelesaikan siasatan penyelewengan dana Mitra dari 2019 hingga 2021.

“Susulan itu, SPRM telah berjaya mendakwa 12 kes dengan 10 kes dibicarakan di mahkamah dan dua tertuduh telah mengaku bersalah,” tambahnya.

Menurut SPRM, ia juga telah mengkaji semula pengurusan dana Mitra bagi meningkatkan prosedur dan ketelusannya dalam pengagihan dana kepada masyarakat India di negara ini.

“Selain itu, Mitra telah menyerahkan laporan Amalan Nasihat, Sistem dan Tatacara Pengurusan Dana kepada Kementerian Perpaduan Negara pada 22 Feb 2022.

"Laporan itu berfungsi sebagai langkah dan alat untuk mencegah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dana kerajaan," menurut kenyataan itu.

Menurut Suruhanjaya itu, Akta SPRM 2009 memberi kuasa kepada SPRM untuk bukan sahaja menyiasat rasuah, penyelewengan, dan salah guna kuasa, tetapi juga meneliti amalan, sistem dan prosedur bagi memastikan kesalahan serupa tidak berulang pada masa hadapan.

- Bernama