Skip to main
Logo Malaysiakini

KJ dakwa dua menteri, 'bos' halang RUU generasi penamat

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin telah mendakwa dua menteri kabinet dan seseorang yang dirujuknya sebagai "the gaffer" menghalang rang undang-undang melarang orang yang lahir selepas 2007 untuk membeli atau mengambil produk nikotin.

Khairy pada hantaran di Instagram mendakwa dua menteri itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said dan Menteri Pelancongan Tiong King Sing.

Bagi "the gaffer" pula ia berkemungkinan merujuk kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana ia istilah slanga British yang membawa maksud "bos".

Meskipun Putrajaya tidak memberikan maklumat terkini mengenai rang undang-undang itu, badan pemerhati kesihatan CodeBlue mendakwa kabinet telah memutuskan untuk menggugurkan peruntukan berkaitan larangan tembakau dan vape berdasarkan umur, yang biasanya dirujuk sebagai "generasi penamat", daripada Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023.

Gambar fail, memorandum RUU generasi penamat.

Menurut CodeBlue, Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berpendapat peruntukan GEG melanggar perlembagaan" kerana ia bertentangan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesaksamaan di sisi undang-undang.

"Kepada (Jabatan Peguam Negara), akan ada dua set undang-undang untuk dua kumpulan rakyat berbeza berdasarkan umur," kata sumber kepada CodeBlue.

Khairy, perancang asal rang undang-undang itu berkata cara kabinet mengendalikan RUU itu "benar-benar membingungkan."

Katanya, semasa dia mengendalikan rang undang-undang itu, AGC tidak pernah membantah tetapi pendirian itu kini dilaporkan telah berubah.

"Anda tahu kenapa? Pengkritik GEG yang sengit tidak lain adalah menteri undang-undang sendiri. Dia tidak mahu ia diluluskan.

“Lawan besar GEG dalam kabinet ialah menteri undang-undang, menteri pelancongan dan 'gaffer',” katanya.

Khairy berkali-kali berhujah RUU GEG adalah perlu untuk melindungi kesihatan awam kerana perbelanjaan bagi rawatan merokok dan penyakit berkaitan vape adalah jauh lebih tinggi daripada cukai yang dikutip daripada industri itu.

Ketika Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 digubal sekitar 2022 dan dibentangkan pada Jun 2023, peguam negara ketika itu ialah Idrus Harun.

Idrus digantikan oleh Terrirudin pada September lalu.

Ketika dihubungi, Azalina memberitahu Malaysiakini bahawa peguam negara merupakan penasihat undang-undang kepada kabinet mengikut Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, sebagai penasihat undang-undang kepada kabinet, AGC telah membentangkan pandangan undang-undang mereka mengenai GEG semasa mesyuarat kabinet.

“Semua menteri mempunyai hak prerogatif sebagai anggota kabinet untuk membentangkan pandangan mereka dalam apa jua perkara termasuk kertas rang undang-undang ini tetapi akhirnya, kabinet bertanggungjawab secara kolektif terhadap keputusan yang dibuat.

"By the way, siapa 'gaffer', kalau saya boleh tanya," soal Azalina.

Walaupun Azalina tidak mengulas secara terbuka mengenai peruntukan RUU GEG, Tiong pernah memberitahu parlimen tahun lalu bahawa langkah yang ditetapkan dalam draf rang undang-undang adalah terlalu ketat dan secara tidak adil akan menghukum golongan berpendapatan rendah.

Tiong ketika itu bukan anggota jemaah menteri.

Sementara itu, peguam New Sin Yew melalui ciapan di platform X pula berpendapat bahawa Perkara 8 membenarkan diskriminasi jika terdapat "perbezaan yang boleh difahami" dan jika diskriminasi itu mengejar "objektif yang sah".

“Terdapat ‘perbezaan yang boleh difahami’ kerana ia dengan jelas mengenal pasti kelas yang dilahirkan sebelum masa tertentu tidak boleh merokok.

"Kesihatan awam adalah objektif yang sah," tulis New, yang mencadangkan bahawa cara untuk mengatasi perkara itu adalah dengan memperhalusi perkataan dalam rang undang-undang GEG.