Skip to main
Logo Malaysiakini

Apa menteri nak bangga, ahli kesatuan sekerja cuma sejuta - PSM

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan menegur Menteri Sumber Manusia V Sivakumar kerana berbangga dengan lebih sejuta keahlian kesatuan sekerja telah direkodkan setakat 30 Oktober lalu, jauh mendahului sasaran asal pada 2025.

"Ini amat menyedihkan dan langsung tidak boleh dibanggakan. Satu juta pekerja daripada 16 juta tenaga kerja hanya menjadikan peratusan sumber tenaga manusia yang menjadi ahli kesatuan sekerja hanya sekitar 6.25 peratus.

"Dan kebanyakan pekerja yang menjadi ahli kesatuan ini adalah daripada sektor awam tidak seperti kebanyakan negara lain," katanya.

Arutchelvan (gambar, bawah) memetik perangkaan daripada Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja yang melaporkan terdapat 767 kesatuan sekerja pada 2022, mewakili hanya 5.8 peratus daripada tenaga kerja Malaysia.

Daripada jumlah itu, kurang daripada 2 peratus daripada semua pekerja dilindungi oleh perjanjian tawar-menawar kolektif antara majikan dan pekerja.

Arutchelvan berkata M Kulasegaran yang menjadi menteri sumber manusia sebelum Sivakumar telah menyasarkan untuk meningkatkan keahlian kesatuan sekerja kepada 30 peratus bersamaan kira-kira 5 juta keahlian kesatuan sekerja.

"Oleh itu, bagaimana menteri sekarang boleh berbangga dengan satu juta keahlian kesatuan sekerja dan mengatakan mereka telah mencapai sasaran untuk tahun 2025, melainkan sasaran 2025 adalah sangat rendah," soal pemimpin PSM itu.

Semalam, Sivakumar (gambar, bawah) memberitahu sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan 2023 di Putrajaya bahawa pencapaian tersebut sesuatu yang membanggakan khususnya bagi pihak Kementerian Sumber Manusia yang mengharapkan lebih ramai pekerja menganggotai kesatuan sekerja.

Jelas Sivakumar, jumlah itu perlu ditambah bagi memastikan nisbah keahlian kesatuan sekerja adalah separuh daripada jumlah keseluruhan pekerja di negara ini.

"Kita ada 16 juta pekerja. Kalau capai nisbah separuh daripada jumlah keseluruhan, ini adalah suatu nisbah cukup memberangsangkan," katanya.

Pun begitu, Arutchelvan tidak begitu teruja dengan kenyataan Sivakumar menegaskan sudah tiba masa untuk Sivakumar membetulkan faktanya.

"Menteri juga harus memberikan butiran lanjut tentang bagaimana beliau merancang untuk mencapai sasaran 50 peratus yang tidak dapat dicapai di kebanyakan bahagian dunia.

Gambar hiasan.

"Pada 2019, hanya lima negara yang mempunyai keahlian melebihi 50 peratus.

"Dia juga harus memberikan statistik dan sebab mengapa kurang daripada 2 peratus pekerja dilindungi oleh perjanjian kolektif," kata Arutchelvan.

Dia berkata perwakilan dalam kesatuan sekerja yang lemah berpunca daripada dasar bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Keahlian kesatuan sekerja tertinggi (dalam sejarah) Malaysia adalah pada 1947 (ketika sebelum merdeka) apabila 67 peratus pekerja telah bergabung di bawah Kesatuan Buruh Am - Persekutuan Kesatuan Sekerja Se-Malaya (PMFTU).

"Tetapi era Mahathir pada 1980an dan 1990an menyaksikan undang-undang yang sistematik untuk menghalang keahlian kesatuan sekerja manakala pemusnahan kesatuan (sedia ada) berleluasa," dakwanya.

Arutchelvan juga kesal dengan keadaan golongan pekerja di Malaysia, mengatakan undang-undang tidak melindungi kesatuan sekerja.

“Kesatuan juga enggan menambah keahlian mereka dalam kalangan pekerja asing, menjadikan tuntutan kesatuan dan pekerja lemah di negara kita,” katanya lagi.