Skip to main
Logo Malaysiakini

PAS harap MP beralih sokongan tarik balik keputusan

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berharap ahli parlimen dari Bersatu yang baru-baru ini beralih sokongan menarik balik keputusan mereka.

"Ya kita (PAS) kecewa tetapi kita harapkan supaya mereka yang pergi ke seberang sana boleh menimbangkan semula untuk menarik balik apa yang telah mereka laksanakan,” katanya pada sidang media di parlimen hari ini.

Empat ahli parlimen berkenaan ialah Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Bersatu menggantung keahlian Suhaili selama enam tahun, dan Iskandar Dzulkarnain selama empat tahun. Mohd Azizi dan Zahari pula dihadapkan ke lembaga disiplin parti.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata tindakan empat ahli parlimen berkenaan harus dilihat sebagai tindakan individu.

"Ia bukan isu parti. Saya yakin Bersatu sedang, telah dan akan ambil tindakan sewajarnya untuk mengekang aktiviti tersebut. Ia tindakan individu dan individu-individu ini tidak boleh dikaitkan dengan parti,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fadhli berkata parti itu setakat ini tidak maklum mengenai cubaan untuk menarik ahli parlimen mereka menyokong pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Dalam makluman kami tidak ada," kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu pada sidang media di parlimen hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia semalam, yang memetik sumber yang mendakwa seorang ahli parlimen PAS dilihat beberapa kali memasuki bilik backbencher di parlimen.

Semalam, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menuduh Suhaili sebagai "pengkhianat" parti itu berhubung penglibatan dalam dakwaan cubaan untuk mendapatkan sokongan kepada Anwar.