Skip to main
Logo Malaysiakini

50% hasil bidaan nombor plat khas kembali pada MOT - Loke

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Sebanyak 50 peratus daripada hasil kutipan keseluruhan bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan.

Menterinya Anthony Loke berkata hasil bidaan itu juga ia akan digunakan bagi membiayai program inisiatif rakyat.

Ahli parlimen Seremban itu berkata perkara berkenaan sudah dipersetujui Kementerian Kewangan dan akan bermula awal tahun depan.

“Memang kita akan terus inisiatif ini, kita akan terus penjualan NPI melalui JPJeBit.

"Kita akan ada tender-tender terhadap nombor-nombor pendaftaran istimewa ini kerana ini juga salah satu cara kita menjana pendapatan.

"Tahun depan Kementerian Kewangan telah bersetuju apa saja inisiatif kita, (hasil) penjualan nombor pendaftaran istimewa ini nanti, sebanyak 50 peratus daripada hasil itu akan dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan untuk kita melaksanakan pelbagai inisiatif untuk rakyat,” katanya menjawab soalan Jimmy Puah (PH-Tebrau) ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2024 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata pemberian lesen motosikal kelas B2 percuma untuk rakyat kumpulan B40 antara inisiatif yang akan menggunakan hasil penjualan nombor pendaftaran itu nanti.

“Umpamanya kita nak tambah bilangan (mereka) untuk mendapatkan lesen memandu B2, yang mana ramai ahli parlimen minta untuk kawasan mereka supaya ditambah latihan-latihan itu diberikan kepada golongan B40 supaya mereka dapat lesen secara percuma itu.

“Kita akan tambah tetapi peruntukan itu perlu datang daripada hasil penjualan nombor pendaftaran istimewa ini yang kita kan buat dalam kadar segera menjelang tahun baru akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Loke turut memaklumkan jumlah bayaran pampasan akhir yang akan diberikan kepada waris mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 tertakluk kepada pembuktian kerugian yang dialami oleh setiap penumpang.

Loke berkata pembuktikan kerugian ini akan dinilai mengikut prinsip undang-undang dan tertakluk kepada Konvensyen Montreal.

"Namun begitu saya difahamkan apabila berlakunya MH17 ini, melalui syarikat penerbangan, keluarga penumpang telah diberikan pampasan sebelum ini.

"Tetapi jumlah itu perkara yang sulit antara syarikat penerbangan dengan keluarga penumpang," katanya.

Sebelum ini, dilaporkan pesawat malang MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di timur Ukraine setelah dipercayai ditembak jatuh di ruang udara negara yang bergolak itu pada 17 Julai 2014.

Sementara itu, Loke turut menyentuh mengenai pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu.

Katanya, kerajaan ada membantu dari segi pemberian bantuan kewangan kepada keluarga mangsa pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu semasa waktu kejadian.

"Kerajaan juga bantu, ada juga daripada syarikat e-hailing juga membantu," katanya.

Dalam kejadian 2.50 petang, 17 Ogos lalu, 10 lelaki disahkan maut selepas pesawat terbabit terhempas di Elmina.

Lapan yang maut ialah penumpang dan dua kru pesawat manakala dua lagi ialah pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas.

Selain itu, Loke turut memaklumkan rakyat Malaysia tidak berminat untuk berkhidmat dalam sektor perkapalan meskipun pendapatan yang diperolehi agak lumayan.

Pelaut keluar berbulan-bulan

Menurut Loke, disebabkan itu kekosongan jawatan sektor terbabit diisi oleh warga asing.

“Memang betul pelaut-pelaut (pekerja sektor perkapalan) ini sebenarnya pendapatan mereka agak baik atau gaji yang dibayar kepada pelaut ini adalah tinggi daripada pekerjaan lain.

"Tetapi satu perkara yang warga tempatan tidak berminat (bekerja di sektor ini adalah) kerana apabila mereka bertugas mereka perlu berjauhan dengan keluarga, mereka perlu keluar bekerja untuk tempoh yang lama, berbulan-bulan.

"Kalau pelaut mereka bertugas di atas kapal dan mereka terpaksa meninggalkan keluarga dan itu antara faktor yang menyebabkan ramai di kalangan warga tempatan tidak berminat,” katanya ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ganabatirau Veraman (PH-Klang) berhubung penglibatan pekerja tempatan dalam industri perkapalan dan industri di pelabuhan.

Bagaimanapun, Loke berkata pihaknya terbuka dan mengalu-alukan mana-mana pihak yang berusaha menggalakkan warga tempatan menceburi sektor perkapalan ini.