Skip to main
Logo Malaysiakini

Ekstrak torium skala makmal tak bermakna teknologi tahap uji kaji - Menteri

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berusaha meyakinkan Dewan Rakyat hari ini bahawa pengekstrakan torium merupakan teknologi yang berdaya maju.

Ini di tengah-tengah keraguan terhadap cadangan Lynas Corps untuk mengeluarkan bahan radioaktif itu daripada sisa nadir bumi yang diproses kilangnya.

Chang berkata walaupun proses pengekstrakan torium itu hanya dijalankan pada skala makmal sebelum ini, ia tidak bermakna teknologi tersebut masih di peringkat uji kaji.

Menurutnya, telah terbukti Lynas boleh mengeluarkan torium daripada sisa Penulenan Lesap Air (WLP), tetapi proses itu kini perlu ditingkatkan daripada skala makmal kepada skala industri.

"Untuk makluman, apabila kita kata lab scale, ia adalah berskala makmal. Ia tidak bermakna ia adalah eksperimental ataupun eksplorasi.

"(Pengekstrakan torium) ini sudah pun dibuktikan boleh dilakukan.

"Apa yang Lynas perlu buat adalah untuk scale up," kata Chang ketika menggulung perbahasan RUU Perbekalan 2024 kementeriannya pada peringkat jawatankuasa.

Katanya Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) akan menjadi agensi memantau proses meningkatkan skala pengeluaran.

"Bukan memantau hanya setelah tamat tempoh, tetapi secara berkala.

"Bagaimana mereka akan memperbesar skala (daripada makmal kepada skala industri),” kata Chan menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang menimbulkan kebimbangan jika syarikat perlombongan Australia itu akan menunaikan janjinya dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Sebelum ini, beberapa aktivis alam sekitar juga telah menyuarakan kebimbangan sama bahawa cadangan pengekstrakan torium tidak akan menjadi kenyataan.

Ini, kata mereka hanya membolehkan Lynas menambah masa untuk terus beroperasi di Malaysia, seperti percubaan sebelum ini untuk mencari cara menggunakan semula sisanya.

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong.

Selain Khoo, Chow Yu Hui (PH-Raub) turut menyoal komitmen dan keupayaan Lynas menjalankan proses pengekstrakan torium di Malaysia.

Chang menjelaskan Lynas boleh mengekstrak kira-kira 700 tan torium daripada 1.2 juta tan sisa WLP yang disimpan berhampiran kilang Lynas di Gebeng, Pahang.

"Itu adalah peratusan yang sangat rendah dan selepas itu satu juta tan metric (sisa Lynas) itu akan jadi sisa berjadual yang tidak lagi radioaktif,” katanya.

Banyak negara lain tidak meneruskan pengekstrakan torium kerana ia memerlukan kos yang tinggi, tetapi Lynas sanggup melakukannya, katanya.

Dia berkata bagi negara lain, lebih murah untuk membuang bahan buangan itu ke dalam lombong yang sama tempat asalnya digali, tetapi ini bukan pilihan untuk Malaysia.

Untuk konteks, kepekatan torium dalam sisa WLP dilaporkan sekitar 1,650 bahagian per juta. Mengeluarkan 700 tan torium daripada 1.2 juta tan sisa WLP bermakna hanya kira-kira 35 peratus daripada torium dikeluarkan.

Pada 23 Okt, AELB mengalih keluar syarat pelesenan utama untuk Lynas yang sebaliknya memerlukannya untuk menghentikan pengimportan bahan radioaktif ke Malaysia dan memindahkan operasi kemudahan keretakan dan larut lesapnya ke luar negara. Ini akan melibatkan penutupan separa loji Lynas di Gebeng..

Keputusan itu bergantung pada cadangan Lynas untuk mengurangkan keradioaktifan sisa WLP daripada 6.2 becquerel per gram (Bq/g) semasa kepada di bawah 1 Bq/g dengan mengeluarkan torium daripadanya.

Sebaik sahaja ia dibawa ke bawah 1 Bq/g, ia tidak lagi dikawal sebagai sisa radioaktif dan boleh dilupuskan seperti sisa industri biasa.

Chang sebelum ini berkata terpulang kepada Lynas untuk memutuskan cara menangani torium yang diekstrak, tetapi walaupun ia berhasrat untuk menjualnya, penyimpanan awal bahan itu masih perlu mematuhi peraturan AELB.

Syarat pelesenan yang disemak untuk Lynas masih memerlukan syarikat itu membina kemudahan pelupusan kekal (PDF) untuk sisa WLP.

Mengenai perkara itu, Chang memberitahu parlimen bahawa pembinaan PDF itu kini lebih 35 peratus siap.

"Ada beberapa chamber. First chamber sudah dibuat, sisa sudah dimasukkan. Yang lain belum. Masih dalam progress," jelasnya.