Skip to main
Logo Malaysiakini

Sukar bagi gabungan Madani rampas kerusi Kemaman

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Gabungan Madani yang membentuk kerajaan persekutuan hari ini dilihat sukar untuk merampas kerusi parlimen Kemaman pada pilihan raya kecil (PRK) 2 Disember ini.

Ini diakui sendiri oleh Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi pada 3 Oktober lalu dengan berkata bahawa peluang mereka untuk menang adalah tipis, malah matlamat untuk mengurangkan majoriti Perikatan Nasional (PN) di kerusi itu juga berdepan cabaran yang sukar.

Bagaimanapun, keyakinan kembali semula apabila pada Isnin lalu, BN menamakan melakukan kejutan dengan mengumumkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, 66, sebagai calon langsung mereka.

Kemaman adalah kerusi Parlimen kedua yang dimenangi oleh PN pada pilihan raya umum ke-15 yang keputusannya terbatal selepas mahkamah mendapati wujudnya unsur rasuah - kerusi pertama ialah Kuala Terengganu.

Dalam kedua-dua kes, PN memutuskan untuk tidak membuat rayuan yang membuka laluan untuk PRK.

Persamaan antara kedua-dua kerusi itu juga mungkin berlanjutan dalam keputusan PRK berkenaan.

Pada PRK Kuala Terengganu, yang berlangsung serentak dengan enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos lalu, PN mengekalkan kerusi itu dengan mudah apabila berjaya meraih kira-kira 5,300 lebih undi berbanding yang diterima pada PRU15.

Corak yang sama juga boleh diperhatikan di Kemaman.

Kemaman sebelum ini merupakan kubu kuat BN sehingga PAS menawan kerusi itu pada 2018.

Pada tahun itu, PAS memenangi kerusi itu dengan hanya 44 peratus undi dalam pertembungan tiga penjuru.

Bagaimanapun, berdasarkan keputusan pilihan raya umum 2022 dan pilihan raya negeri 2023, tahap sokongan PAS di kawasan itu didapati semakin meningkat dengan ketara.

Pada pilihan raya negeri lalu, PN memenangi semua empat kerusi DUN di Kemaman - Kemasik, Kijal, Cukai, dan Air Putih - dan jumlah pungutan undi menunjukkan PN mendapat sekitar lebihan 1,500 undi di kawasan itu berbanding pada PRU15.

BN pula hanya memperolehi lebihan tujuh undi walaupun bekerjasama dengan Pakatan Harapan - yang memperoleh 8,340 undi di Kemaman semasa PRU15.

Ini menunjukkan bahawa peratusan keluar mengundi adalah lebih rendah di kalangan penyokong Madani dan bahawa sejumlah besar pengundi BN beralih kepada PN.

Walaupun PH dan BN berjaya memenangi tiga PRK - Pulai, Simpang Jeram, dan Pelangai - ini adalah kerusi milik mereka sebelum ini.

Tambahan, pada ketiga-tiga PRK itu, jumlah yang mengundi PN semakin bertambah.

Bagaimanapun, kemenangan-kemenangan itu dilihat tidak akan tempias ke Kemaman. Sentimen pengundi tidak dijangka berubah secara ketara dalam tempoh dua bulan.

Pencabar juga berdepan tokoh besar PAS Ahmad Samsuri Mokhtar yang telah memimpin kemenangan besar dalam pilihan raya negeri sebelum ini.

Pencalonan Samsuri juga mengejutkan memandangkan PN tidak berdepan asakan yang hebat di Kemaman. Malah jika menang pun, Samsuri dilihat tidak dapat memainkan peranan besar di parlimen kerana turut mempunyai tugas lain sebagai menteri besar.

Bagaimanapun, Samsuri ialah sosok yang popular di kalangan akar umbi PAS dan tempat di parlimen mungkin boleh menjadi batu loncatannya untuk memanjat letih tinggi dalam hierarki PN.

[Baca berita penuh]