Skip to main
Logo Malaysiakini

Rayuan pendakwaan kes VLN Zahid pada 18 Mac depan

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Mahkamah Rayuan secara tentatif menetapkan 18 Mac tahun depan untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan yang memohon membatalkan pembebasan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah sistem visa asing (VLN).

Mahkamah Rayuan awal hari ini menetapkan tarikh perbicaraan sekiranya peguam negara menolak representasi menteri pembangunan luar bandar dan wilayah itu untuk pendakwa menggugurkan rayuan.

Ketika dihubungi petang ini, peguam Hisyam Teh Poh Teik (gambar, bawah) yang mewakili Zahid mengesahkan perkara itu.

"Ya, sekiranya representasi ditolak," jawab peguam kanan itu apabila ditanya mengenai tarikh tentatif itu.

Hisyam juga berkata mahkamah rayuan menetapkan 29 Jan tahun depan untuk pengurusan kes bagi pihak pendakwaan dan pasukan pembelaan mengemas kini sama ada AG menerima representasi itu atau tidak.

Pendakwa raya merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam tahun lalu yang melepas dan membebaskan (DAA) Zahid daripada 40 pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan VLN.

Menerusi rayuan itu, pihak pendakwaan memohon supaya timbalan perdana menteri itu diperintahkan membela diri.

Zahid meminta untuk dibicarakan atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta (RM43.6 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai menteri dalam negeri ketika itu, bagi menyambung kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta mengekalkan kontraknya dengan Kementerian Dalam Negeri untuk membekalkan sistem bersepadu itu.

Mengikut pertuduhan, Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Bagi baki tujuh pertuduhan, Zahid dituduh memperolehi wang tunai S$1,150,000, RM3 juta, 15,000 Swiss franc (RM70,000) dan AS$15,000 (RM68,000) untuk dirinya sendiri daripada firma yang sama, dengan pendakwa menuduh Zahid tahu ia berkaitan dengan tugas rasminya.

Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Country Heights, Kajang, antara Jun 2015 dan Oktober 2017.

Dia juga mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, iaitu pertuduhan menerima rasuah S$13.56 juta yang dikaitkan dengan sistem VLN, antara 2014 dan 2017 atas kapasitinya sebagai menteri dalam negeri ketika itu.

[Baca berita asal]