Skip to main
Logo Malaysiakini

MB T'ganu lawan bekas panglima ATM di PRK Kemaman

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

PRK KEMAMAN | Pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang akan berlangsung pada 2 Disember depan menyaksikan saingan satu lawan satu antara calon BN dan PN.

Perkara itu disahkan Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kemaman Ahmad Farhan Abdul Wahab yang mengumumkan hanya calon daripada dua gabungan berkenaan mengambil bahagian.

Pengumuman itu dibuat sebaik tempoh pencalonan di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, tamat pada jam 10 pagi ini.

BN menampilkan bekas pegawai tinggi tentera Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, manakala PN meletakkan Naib Presiden PAS merangkap Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ahmad Samsuri yang diiringi barisan pimpinan dan penyokong PN dan penyokong tiba di pusat penamaan calon di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman , kira-kira jam 8.45 pagi.

Turut kelihatan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin dan Presiden Gerakan Dominic Lau.

Di pihak BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan pula menyaksikan calon diiringi Presiden Amanah Mohammad Sabu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, tiga Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani, Khaled Nordin dan Wan Rosdy Wan Ismail, Pengarah PRK Kemaman Ahmad Said dan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Suasana di pekarangan dewan terkawal dengan pemantauan pihak berkuasa sepanjang proses penamaan calon.

Malah Mohamad sempat menyapa barisan kepimpinan PN dan berbual-bual dengan Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim.

PRK Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Seramai 141,790 pengundi layak mengundi dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 pengundi tidak hadir luar negara.

PRU15 menyaksikan Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh 65,714 undi menewaskan Ahmad yang juga pengerusi Umno Terengganu, yang mendapat 38,535 undi.

Dua lagi calon lain pada PRU15 ialah Hasuni Sudin mewakili PH yang memperoleh 8,340 undi dan Rosli Ab Ghani calon Parti Pejuang Tanah Air yang mendapat 506 undi.

Parlimen Kemaman turut meliputi empan DUN iaitu Kemasik, Kijal, Chukai dan Air Putih.