Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada keperluan Ahmad Samsuri letak jawatan MB - PAS

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

PRK KEMAMAN | PAS menegaskan tiada sebarang keperluan untuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meletakkan jawatan sebagai menteri besar Terengganu selepas menjadi calon dalam PRK Parlimen Kemaman.

Presidennya Abdul Hadi Awang berkata, penyertaan Ahmad Samsuri tidak menjadi kesalahan dalam sistem demokrasi diamalkan di Malaysia.

“Ada beberapa menteri besar yang jadi ahli parlimen, di Selangor, di Pulau Pinang daripada DAP sendiri, itu biasa.

“Saya pun pernah jadi menteri besar. Tak ada masalah bagi politik Malaysia dan sistem demokrasi.

“Tiada keperluan (letak jawatan), kita akan dilihat perubahan politik yang akan berlaku,” katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon di Majlis Perbandaran Kemaman, Kemaman, hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran dilontarkan Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said yang meminta Ahmad Samsuri meletakkan jawatan menteri besar kerana tampil menjadi calon.

Ahli parlimen Pengerang itu mendakwa penyertaan Ahmad Samsuri sebagai tidak adil dan tidak amanah kepada pengundi Kemaman.

"Kalau betul dia yakin (menang), saya nak cabar dia hari ini letak jawatan sebagai menteri besar Terengganu, fokus kepada parlimen Kemaman (dan) lawan satu dengan satu (baru) adil.

"Sebab kita rasa, kita kuat tapi dia nak bertanding atas tiket sebagai menteri besar sebab bila kalah (masih) boleh jadi menteri besar. Maknanya dia tak amanah, ikhlas pada pengundi Kemaman.

"Tapi saya nak tanya kalau dia berani letak jawatan bertanding (dan) jangan jadi menteri besar, tanding kosong-kosong, satu lawan satu, kita tengok mana yang kuat," katanya dipetik sebagai berkata.

Terdahulu Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang bersama barisan kepimpinan PN mengiringi Ahmad Samsuri ke pusat penamaan calon.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata pihaknya akan berusaha untuk mendapati majoriti yang lebih besar berbanding keputusan dalam PRU ke-15 lalu.

“Kita tak memandang mudah kerana kita menghadapi BN dan PH yang tak malu-malu guna jentera kerajaan.

“Kita bukan saja menghadapi jentera BN yang bergabung dengan PH tetapi juga jentera kerajaan yang akan digunakan seperti PRK lain.

“Akan berlaku double standard yang mana politik wang akan berlaku kepada mereka, kita tak boleh,” dakwanya.

PRK Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada PRU15 lalu.

Pengundian akan berlangsung pada 2 Disember depan dengan saingan satu lawan satu antara calon BN dan PN.

PN menampilkan Ahmad Samsuri yang juga naib presiden PAS merangkap menteri besar Terengganu manakala BN meletakkan bekas pegawai tinggi tentera Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.